KOTA BHARU - Pas berpendapat berjuta-juta duit rakyat akan dibazirkan sekiranya PRK diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam Parlimen.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apatah lagi PRK tersebut diadakan dalam masa kerajaan sendiri masih mengharapkan sumbangan rakyat menerusi Tabung Harapan Malaysia.

“Saja-saja hendak buat pilihan raya tidak patutlah. Malaysia sendiri pun tidak ada duit,  buat derma tubuh tabung. Pilihan raya secara sengaja ini tidak sepatutnya berlaku.

“Bagi saya, satu-satu PRK ini guna berjuta-juta ringgit. Ini bukan yang pertama, sebelum ini 'Langkah Kajang',” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kelantan, sebentar tadi.

Hari ini diumumkan, Presiden PKR itu sah bertanding di Parlimen Port Dickson selepas penyandang kerusi tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Pada PRU14, kerusi berkenaan dimenangi Danyal Balagopal dengan majoriti 17,110 undi dan pemilihan Parlimen tersebut setelah dipersetujui rakan-rakan dalam PH.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Amar juga menganggap PRK demi memenuhi impian seseorang menjadi perdana menteri juga tidak sepatutnya berlaku.

Bukan itu sahaja, bahkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu juga menyifatkan perkara yang dipraktikkan tersebut sebenarnya tidak bagus untuk negara.

“Ini tidak bagus untuk negara,” katanya.