KAMPUNG PAYA - Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad berpendapat kajian PRK Port Dickson yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) adalah satu bentuk perang psikologi.

Menurutnya, sebaiknya kajian sedemikian harus dilihat dalam pandangan pihak lain.

"Usah lihat dalam satu pandangan sahaja, kalau itu pandangan kumpulan mereka, mesti mereka akan sokong.

"Masing-masing ada juga buat kajian...ini adalah bentuk perang  psikologi. Saya bukannya baru bertanding, benda itu tak takutkan saya," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di rumah penduduk di sini, hari ini.

Mengulas tentang kenyataan bahawa majoriti pengundi BN di Dun Linggi dan Bagan Pinang akan mengubah haluan ke calon PH, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, katanya pengundi tegar BN masih sokong pada beliau walaupun bukan keseluruhannya.

Tambahnya, malah ada juga penyokong PKR yang menyokong beliau dalam PRK ini.

"Sebahagian penyokong PKR sokong saya. Saya tahu penyokong PKR ubah arus menyokong saya," katanya.

Dalam pada itu, Isa sempat berseloroh tentang pihak yang berpegang pada IDE.

"Dia boleh pegang pada Darul Ehsan (Institut Darul Ehsan)... Saya pegang pada Darul Isa," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saiful tiada sebarang sokongan undi - IDE]

Hari ini, IDE merumuskan kaji selidiknya dan mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima 74 peratus sokongan, calon Pas Mohd Nazari Mokhtar dengan 11 peratus, Isa (10%), Stevie Chan (1%), Lau Seck Yan (1%), Kang Chee Yuen (1%) dan 2% adalah pengundi atas pagar.