PETALING JAYA - Calon PRK PD, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan PRK berkenaan benar-benar bersih tanpa sebarang kemudahan atau kempen daripada agensi kerajaan.

Anwar berkata, mana-mana pimpinan PKR yang mempunyai jawatan dalam kerajaan akan hanya datang ke PRK PD sebagai ahli parti dan bukannya menggunakan jawatan kerajaan bagi kempen PRK berkenaan.

Menurutnya, penting baginya memastikan PRK PD kali ini bersih dan berlangsung dengan baik.

"Malah bagi memastikan tiada kemudahan dan agensi kerajaan digunakan semasa kempen, program di bawah kementerian yang diterajui Saifuddin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail) yang telah dirancang lebih awal telah dibatalkan.

"Ini adalah signal penting kita mahukan PRK kali ini bersih,"  katanya pada sidang media berkenaan PRK PD di Ibu Pejabat Keadilan PKR, di sini, hari ini.

Anwar berkata, penyandang kerusi Parlimen PD sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah akan turut sama berkempen buatnya sepanjang tempoh PRK PD.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PRK PD adalah bagi melengkapkan perubahan dan agenda reformasi yang di bawa partinya sebelum ini.

Menurutnya, sempena PRK berkenaan agenda reformasi dapat diteruskan dan dimantapkan lagi.

"Rakyat percaya dengan kembalinya Datuk Seri (Anwar) ke parlinen akan membawa perubahan dan agenda reformasi dapat dilengkapkan.