PORT DICKSON - Kajian oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 74 peratus pengundi cenderung memilih calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding enam calon lain bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kajian itu dilakukan terhadap 1,084 responden yang merupakan pengundi di Parlimen itu pada Isnin dan Selasa lepas.

Beliau berkata sebahagian besar mereka memilih Anwar kerana Ketua Umum PKR itu bakal menjadi perdana menteri kelapan.

"Pada hari pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim, 40 peratus (pengundi) mengatakan akan mengundi Anwar Ibrahim kerana ia merupakan bakal perdana menteri yang kelapan.

"Kita melihat pada waktu itu sejauh mana penerimaan masyarakat, kita boleh simpulkan secara umum masyarakat Port Dickson boleh menerima beliau sebagai calon," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan kajian sama, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar menerima 11 peratus diikuti calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (10 peratus) dan empat calon bebas lain masing-masing hanya menerima satu peratus sokongan penduduk di Port Dickson.

Mohammad Redzuan berkata gerak kerja yang dilakukan PAS hanya tertumpu dikawasan Melayu iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Linggi dan Bagan Pinang.

Sementara kawasan majoriti Cina dan India iaitu di DUN Chuah dan Lukut kurang diberi perhatian menyebabkan calon parti itu kemungkinan besar tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua kaum tersebut, katanya.

Kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan  Anwar, calon Pas Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. - Bernama