KUALA LUMPUR - MCA tidak akan menggunakan logo BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Balakong.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan itu adalah sebahagian ‘pembaharuan dalaman’ susulan prestasi lemah dalam PRU14.

“Kami sudah dengar suara orang ramai dan kami bersetuju parti memerlukan pembaharuan dalaman. Keputusan menggunakan logo MCA ialah sebahagian daripada banyak pembaharuan yang akan berlaku dalam masa terdekat.

“Kami perlu memfokuskan pembaharuan dalaman sebelum boleh bercakap mengenai pakatan BN,” katanya hari ini seperti dilaporkan portal FMT.

Tiong Lai sebelum itu mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti.

Menurut beliau lagi, MCA perlu menilai semula ‘bebanannya’.

“Kami perlu menyelaras semula peranan politik sendiri dan membuang bebanan sejarah kami. Menggunakan logo sendiri ialah permulaan kami menentukan arah tuju baru parti,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN:PRK Seri Setia, Balakong diadakan serentak]

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah meluluskan keputusan mereka menggunakan logo MCA, tetapi ini tidak bermakna parti itu akan meninggalkan BN.

“Kami sudah menjadi sebahagian daripada BN selama 69 tahun. Kami tidak akan meninggalkan sesiapa, lagipun kami ialah pengasas BN.

“BN memainkan peranannya pada masa lalu. Kini ialah masa kami memulakan perjalanan sendiri,” katanya.