PASIR GUDANG – Calon Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Pasir Gudang yakin mempunyai peluang untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Dr Ahmad Faidhi Saidi berkata, komposisi pengundi pelbagai kaum di Parlimen itu memudahkan strategi PR dalam misi menawan Pasir Gudang.

Menurutnya, Parlimen Pasir Gudang pada hari ini tidak lagi disifatkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) kerana pada hakikatnya rakyat di kawasan itu mahukan perubahan tampuk pemerintahan.

“Mungkin dulu betul Pasir Gudang kubu kuat BN, tapi sekarang sudah tidak terkenal sangat. Saya rasa tak ada masalah kerana kaum Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak ramai di kawasan ini.

“Saya percaya ada peluang untuk menang tinggi bagi menidakkan Pasir Gudang sebagai ‘fix deposit BN’,” katanya kepada pemberita pada Program Memperkenalkan Calon PKR di Taman Johor Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Ranting PKR Johor Jaya, Jimmy Puah. Ahmad Faidhi berkata, beliau tidak gentar berdepan calon BN meskipun bukan penduduk tempatan di Pasir Gudang kerana menyifatkan Melayu di kawasan itu adalah Melayu berpendidikan.

Menurutnya, isu kekecewaan penduduk kampung setinggan tidak mustahil boleh merubah kepimpinan di Pasir Gudang.

“Saya tak ada masalah walaupun saya berasal dari Simpang Renggam kerana saya sudah mula menetap di Taman Megah Ria sejak enam bulan lalu.

“Lagipun di sini tak ada kampung atau Felda, sebaliknya ada Melayu berpendidikan yang lebih mudah untuk menarik sokongan mereka.

“Penduduk kampung setinggan pastinya akan beri sokongan kepada kita kerana mereka selama ini kecewa dipermainkan dengan janji kerajaan BN untuk diberikan hak pemilikan tanah,” katanya.