• PRU13 PRU13
1 /

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR), pencabar utama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mendahului dalam soal pengumuman senarai calon yang akan mewakili perikatan itu untuk menawan tampuk pemerintahan.

Bahkan PR tidak keberatan mengumumkan senarai calon mereka melalui pentas-pentas ceramah yang dihadiri oleh pimpinan tertinggi perikatan itu. PKR umpamanya mengumumkan nama Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang akan bertanding di kawasan Parlimen Pandan hanya menerusi ceramah parti itu sejak beberapa yang lalu.

Malam tadi menerusi pengumuman senarai calon PKR di Selangor, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengumumkan secara rasmi calon parti itu yang akan berentap di Parlimen Pandan. Penyandang bagi kerusi Parlimen Pandan sekarang ialah bekas pemimpin utama MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Tee Keat menang kawasan itu dengan mendapat undi majoriti 2,961. Beberapa lagi nama pemimpin yang dikenali dalam PKR difahamkan akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai yang dimenanginya dengan majoriti 2,895. Izzah pada PRU lalu mengalahkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Di Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikekalkan oleh PKR. Ahli Parlimen Batu yang juga Naib Presiden PKR, Tian Chua juga kekal mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 2008.

PKR meletakkan Ibrahim Yaakob di Parlimen Setiawangsa dan Datuk Tan Kee Kwong di Parlimen Wangsa Maju. Penyandang semasa kerusi Parlimen Wangsa Maju adalah Wee Choo Keong yang keluar dari PKR dan menjadi calon Bebas. 

Di Selangor, PKR malam tadi mengumumkan hampir kesemua calon PRU 2008 diturunkan semula. Hanya beberapa nama baru dan pertukaran di buat antaranya Khalid Ibrahim yang ditukarkan dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok ke Pelabuhan Klang.

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam digantikan dengan muka baru G Manivannan. Manikavasagam bertanding di peringkat Dun. Sama halnya juga dengan kerusi di Parlimen Kelana Jaya yang akan diwakili oleh muka baru, Wong Chen menggantikan Loh Gwo Burne.

PKR juga menurunkan bekas pensyarah  undang-undang terkenal, Dr Abdul Aziz Bari di Sabak Bernam dan Khalid Jaafar di Hulu Selangor. Di kawasan Dun, cuma ada sedikit perubahan dilakukan selain mengekalkan penyandang sedia ada.

Selain itu di beberapa negeri lain, PKR yang mengambil pendekatan mengumumkan calonnya secara berperingkat-peringkat sudah mengumumkan beberapa nama yang akan bertanding di Johor. 

Datuk Dr Chua Jui Meng yang juga pengerusi PKR negeri bertanding di Parlimen Segamat.  Hassan Karim yang juga naib ketua PKR negeri diletakkan di Parlimen Ledang.

Parlimen Sri Gading dan Sembrong masing-masing akan ditandingi oleh Khuzan Mohammad dan Onn Abu Bakar bagi menentang Barisan Nasional (BN). Di Sekijang, PKR meletakkan Julailey Jemadi yang merupakan seorang blogger.

Beberapa nama lain juga turut diumumkan iaitu Datuk Idris Jauzi di Batu Pahat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein (Bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat) diJohor Bahru,Steven Chong di Tebrau dan Mohd Hizwan Ahmad di Muar.

PKR juga akan meletakkan bekas jeneral, Leftenan Jeneral (B), Datuk Abdul Ghafir Abd Hamid bertanding di kerusi parlimen Pasir Gudang. Di Melaka, nama-nama seperti Ketua Angkatan Muda Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin juga sudah diumumkan mewakili parti itu di Parlimen Bukit Katil.

Sementara Rahim Ali yang merupakan ketua cabang PKR Tangga Batu akan mewakili kawasan Parlimen itu. Di Perak pula, PKR mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak, Padang Rengas,Bagan Serai, Gopeng dan Lumut. 

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula akan meninggalkan kawasan Parlimen Machang dan bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu.  Kerusi itu kini disandang oleh ahli Parlimen Bebas, Datuk Zulkifli Nordin yang telah dipecat dari parti itu. 

PKR juga mengekalkan Fuziah Salleh di Kuantan, Pahang. PKR juga akan meletakkan calonnya yang menang kerusi Parlimen Sungai Petani untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU13 ini. 

Datuk Johari Abdul mengalahkan calon BN pada pilihan raya lalu dengan mendapat majoriti 9,381. Naib Presiden PKR, N. Surendran pula akan bertanding di kerusi Padang Serai.

Di Parlimen Merbok, PKR Nor Azrina Surip yang merupakan ketua wanita cabang Sungai Petani manakala Parlimen Kuala Kedah akan diwakili oleh Dr Azman Ismail. Di Pulau Pinang, selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah mengesahkan mempertahankan Parlimen Permatang pauh, Parlimen Balik Pulau akan diwakili oleh Mihammad Bakhtiar Wan Chik.

Sementara Parlimen Nibong Tebal pula diwakili Datuk Mansor Othman. Di Terengganu setakat ini, hanya satu kerusi diumumkan oleh PKR iaitu kerusi Parlimen Kemaman yang akan ditandingi oleh Kamaruddin Chik.

Sementara itu malam tadi, Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Abdullah turut diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi. PKR juga meletakkan calonnya di Batang Lupar, Saratok, Hulu Rajang, Baram dan Limbang yang diwakili oleh Baru Bian. 

Sementara itu, Pas pula dilihat bakal menurunkan pimpinan handalan parti itu untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang sudah dimenangi pada pilihan raya umum yang lalu. Difahamkan, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mempertahankan kerusi Dun Chempaka.

Nik Aziz mula berkhidmat sebagai Adun di kawasan itu sejak tahun 1995. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini gempar kononnya presiden Pas itu mahu bersara dari arena politik. Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan mewakili Pas di Parlimen Kuala Terengganu.

Timbalannya, Mohamad Sabu pula akan bertanding di kawasan Parlimen Pendang. Kerusi itu kini disandang oleh Dr. Mohd Hayati Othman dari Pas. Mohd Hayati sebelum ini mengalahkan calon dari Umno, Datuk Paduka Md. Rozai Shafian dengan majoriti sebanyak 4,073 undi. 

Pas juga akan menurunkan Dr Hatta Ramli bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kerai termasuk Khalid Samad yang akan mempertahkan kerusi Parlimen Shah Alam. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub 'pulang' ke negeri kelahirannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai. Salahuddin juga bertanding di kerusi Dun.

Naib Presiden Pas, Datuk Paduka Husam Musa pula dicalonkan untuk merempuh kubu kuat Umno-Barisan Nasional di Parlimen Putrajaya. Seorang lagi Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar akan kekal di Parlimen Pokok Sena. 

Pas juga meletakkan pelantun "Janji Manismu", Wan Aishah Wan Arifin di Parlimen Jempol, Zakarian Khalim di Tampin dan Aiman Athirah Al-Jundi di Parlimen Jelebu. Di Perak, Pas meletakkan seorang bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari di Larut, Ustaz Idris Ahmad di Bukit Gantang dan Khalil Idham Lim di Kuala Kangsar.

Sementara di Johor, buat kali pertamanya Pas membenarkan calon bukan Islam bertanding menggunakan lambang parti itu di Parlimen Ayer Hitam. Pas menurunkan ramai pemimpin parti itu untuk merampas Johor dari tangan BN.

Antaranya di Kota Tinggi, Parit Sulong, Simpang Renggam, Tenggara, Pagoh dan Mersing. Di Pulau Pinang, Pas mengumumkan calonnya di Parlimen Tasek Gelugor iaitu Datuk Abdul Rahman Maidin. 

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden pula akan mewakili parti itu di Kepala Batas. Di Perlis, Pas meletakkan timbalan mursyidul amnya, Datuk Dr Haron Din untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

Selain meletakkan dua lagi calon di kerusi Parlimen Padang Besar dan Kangar. DAP pula setakat ini hanya mengumumkan seorang calonnya yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah. Lim Kit Siang adalah ahli Parlimen Ipoh Timur yang berkhidmat di kawasan itu sejak tahun 2004.

Difahamkan tempat Kit Siang di Perak akan digantikan oleh calon dari DAP juga iaitu Thomas Su. Liew Chin Tong pula dikatakan akan mewakili DAP di kerusi Kluang manakala V Sivakumar pula akan bertanding di Batu Gajah. Sementara itu dikhabarkan Naib Presiden DAP, M Kulasegaran tidak akan mempertahankan kerusi Ipoh Barat yang akan digantikan oleh Wong Kah Woh.