• bendera Bendera parti politik mula dipasang di Jalan Chendering, Kampung Raja di Kuala Terengganu, hari ini. Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) masih belum diumumkan namun
  • bendera Bendera parti politik mula dipasang di Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur. - Foto Bernama
1 /

KUALA LUMPUR - Persis menyambut sebuah pesta besar, seluruh negara kini hampir dipenuhi dengan pelbagai bendera dan poster parti bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Lihat sahaja sepanjang jalan raya, kaki lima, jejantas, tiang lampu, pokok dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai pasti penuh dengan poster dan bendera parti politik bertujuan meraih undi dan sokongan rakyat.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di ibu negara mendapati hampir setiap lokasi meriah hasil kreativiti petugas parti memaparkan bendera dan poster parti serta calon dengan cara yang unik dan tersendiri.

Pensyarah di pusat pengajian tinggi swasta Mohd Mokhtie Mohd Najid, 29, berkata tempoh pilihan raya umum yang datang setiap lima tahun membuatkan parti politik bertanding bersungguh-sungguh menjalankan kempen terutama dalam hal pemasangan bendera dan poster.

Beliau yang menetap di Seri Kembangan sejak tujuh tahun lepas menyifatkan perang poster calon yang mewakili parti bertanding dan bendera yang dipamerkan sekitar kawasan perumahannya pada musim kempen pilihan raya umum kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya.

"Jika pergi ke bilik gerakan parti juga boleh lihat pelbagai cara mereka hiaskan, seperti markas tentera pun ada, sekali gus menarik orang ramai untuk singgah dan mendengar ceramah dan kempen yang dijalankan," katanya kepada Bernama.

Seorang peniaga di Pusat Penjaja Bazaria Pantai, Pantai Permai di Pantai Dalam, Nurul Hidayah Amrin, 37, berpendapat tempoh berkempen yang lebih panjang pada PRU13 mendorong parti bertanding mencari idea yang lebih kreatif.

Katanya perbezaan 'pesta bendera dan poster' pada PRU13 berbanding pilihan raya umum sebelum ini juga agak ketara apabila petugas parti semakin bijak menarik perhatian orang ramai dengan variasi bendera yang diolah dalam pelbagai bentuk dan replika.

"Pada PRU13 ini saya dapat melihat ada pelbagai bentuk bendera dan poster diubah-suai menjadi sesuatu yang menarik contohnya ada yang buat replika kereta kebal menggunakan bendera parti yang membuatkan pengundi lebih teruja untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing pada 5 Mei ini," katanya yang akan mengundi di kampung halamannya di Ipoh, Perak.

Lebih menarik tinjauan di kawasan perumahan seperti di rumah pangsa Jalan Datuk Keramat dan Projek Perumahan Rakyat Taman Medan dan sekitar turut mendapati hampir setiap unit seolah-olah diserang 'demam PRU13' apabila ramai di kalangan penghuni mengibarkan bendera parti bertanding di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, sejauh manakah kibaran bendera dan poster parti ini mampu menarik sokongan rakyat untuk mengundi mereka menjelang 5 Mei nanti? Penganalisis politik Md Syukri Shuib berpendapat kuantiti bendera, poster mahupun kain rentang yang dipasang di sesuatu kawasan lebih melambangkan tahap kesiapsiagaan sesebuah parti bagi menghadapi pilihan raya.

"Semakin banyak bendera dan poster dipasang juga akan melambangkan keupayaan, komitmen serta tahap pengurusan dan teamwork jentera parti atau calon telah berada pada tahap terbaik," kata beliau yang juga Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia.

Apabila sesebuah parti memasang lebih banyak bendera berbanding parti lawannya juga merupakan antara strategi untuk menggerunkan lawan seterusnya memberi isyarat psikologi yang majoriti pengundi di kawasan tersebut menyokong mereka, katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Pengajian Media Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata bendera dan poster bukanlah faktor penentu kepada kejayaan parti kerana pengundi akan memangkah calon berdasarkan pelbagai kriteria.

"Sokongan pengundi datang daripada gabungan pelbagai faktor seperti peranan media, isu semasa yang berlegar dalam parti, personaliti calon dan sokongan semasa pengundi sama ada pilih parti atau calon," katanya.

Menurutnya pendekatan pemasaran politik iaitu kaedah menggabungjalinkan media utama dengan media kecil yang terdiri daripada poster, bendera, sepanduk dan risalah sepanjang tempoh kempen juga boleh menentukan siapa yang akan dipilih pengundi. - Bernama