SHAH ALAM - Kerajaan perlu menggubal dasar yang objektif ke arah penyelesaian kepada masalah kebanjiran pekerja asing dan kadar pengangguran belia yang tinggi dalam negara ini.

Ketua Pemuda Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kedua-dua isu itu perlu dilihat dan dikaji dengan lebih serius kerana ia menimbulkan pelbagai implikasi negatif dalam keharmonian serta keselamatan negara.

"Jangan jadi seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Keadaan diburukkan lagi apabila kerajaan sendiri tidak konsisten dalam polisi pengambilan pekerja asing.

"Ini sepertimana perubahan tanggungjawab bayaran levi pengambilan pekerja asing daripada majikan kepada pekerja, kemudian ditukar kepada majikan semula.

"Ini mengesahkan kecelaruan polisi yang dilaksanakan berkaitan pekerja asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan Tahunan Bank Negara 2016 menyatakan 10.7 peratus belia di negara ini masih menganggur pada tahun 2015 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi dari kadar nasional.

Muhammad Khalil berkata, kerajaan perlu melihat kebanjiran pekerja asing dan pengangguran tinggi kalangan belia dalam negara ketika ini dengan lebih serius.

"Apatah lagi pengambilan pekerja asing kini dilihat telah menjadi kebergantungan besar oleh para majikan terutama di sektor swasta," katanya.

Menurutnya, kebuntuan kerajaan menangani masalah itu menjadi punca wujudnya pelbagai ancaman dan punca masalah sosial.

"Menurut laporan Parlimen, jumlah terkini pekerja asing berdaftar adalah seramai 1.78 juta.

"Lebih menggerunkan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan jumlah pekerja asing tidak sah pula mencecah dua kali ganda angka tersebut. Ketidakpastian jumlah tersebut berpunca dari tindakan majikan ‘menyorokkan’ pekerja asing yang diambil secara haram.

"Sewajarnya perhatian kritikal dan utama diberikan terhadap kadar pengangguran tinggi kalangan belia negara," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.