JOHOR BAHRU - Polis akan memantau kegiatan bookie pada PRU14 demi menjaga sistem demokrasi di negara kita.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu juga dikhuatiri akan mengganggu proses membuang undi.

“Bookie ini akan beroperasi secara haram dan ianya akan membuat ramalan parti atau calon mana yang akan menang.

“Pihak polis akan memantau kegiatan bookie ini kerana kita tidak mahu ramalan yang dibuat oleh bookie-bookie ini menjadi panduan kepada pengundi hendak mengundi pada PRU nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pegawai, Kakitangan dan Keluarga Jabatan Imigresen Johor, di Kuaters Imigresen Taman Kenanga, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari.

Nur Jazlan yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai risau kegiatan bookie ini boleh menyebabkan pengundi tidak memilih calon yang sebenarnya layak untuk menang.

“Sebaliknya, mereka (pengundi) memilih pertaruhan yang boleh dia menang pula. “Ini (bookie) juga merupakan satu kesalahan,” katanya.