MUAR - Polis Johor sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang dianggap panas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan akan memberi tumpuan di kawasan terbabit bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan secara aman tanpa sebarang kekecohan.

Tanpa menyebut kawasan yang dimaksudkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kempen pilihan raya itu kelak supaya tidak memprovokasi polis untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Polis Johor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada pilihan raya umum kali ini. Kita nak pastikan keselamatan terjamin, pengundi keluar mengundi tanpa rasa takut untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perhimpunan memperingati peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950 yang mengorbankan 17 anggota polis dan dua suri rumah serta seorang kanak-kanak.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya mempunyai anggota yang cukup untuk digerakkan memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 kali ini.

Beliau juga mengingatkan anggota parti yang bakal bertanding PRU-13 supaya tidak sesekali melanggar Akta Perhimpinan Aman untuk mengelak daripada didakwa di Mahkamah.

Mereka yang hendak mengadakan ceramah misalnya kata beliau perlu mendapatkan permit 10 hari sebelum sesuatu majlis hendak diadakan di mana-mana tempat di negeri ini.

"Jika ada bantahan, kita akan memanggil kedua-dua pihak yang terbabit untuk berbincang hati ke hati bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Mokhtar menyelar pihak-pihak tertentu yang memperlekeh perjuangan anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong itu.

Sebaliknya beliau mahu masyarakat menghargai perjuangan tulus mereka serta menjadikan semangat kerjasama antara polis dan orang awam dalam kejadian itu
sebagai amalan terbaik untuk mencegah sebarang kejadian jenayah.

"Tanpa pengorbanan pasukan keselamatan, kita tidak mungkin dapat menikmati kehidupan yang lebih baik sekarang ini," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - PKR mendakwa terdapat perubahan besar terhadap jumlah bilangan pengundi yang dipindahkan dan didaftarkan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju sejak bulan Julai 2016 hingga Mac 2017.
  • SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berjaya mengungguli kedudukan teratas dalam senarai pemimpin PKR 'sebagai calon perdana menteri pilihan dalam kalangan pemimpin pembangkang'.
  • KUALA LUMPUR - Pas menyasarkan PRU14 bakal berlangsung di antara Julai hingga September tahun ini.
  • KUCHING - DAP Sarawak, PKR Sarawak dan Amanah Sarawak hari ini mengumumkan penubuhan gabungan dikenali sebagai 'Pakatan Harapan Sarawak' sebagai persiapan menghadapi PRU14.
  • SHAH ALAM - PRU14 boleh diadakan secara bersaingan Dun dan Parlimen, demikian menururut pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.