JASIN - PKR tidak perlu menggunakan teknik umpan bagi memancing pemimpin Umno untuk meninggalkan parti.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, sekiranya terdapat pemimpin parti terbabit yang merasakan Umno tidak lagi relevan, mereka berhak meninggalkannya dan bersama PKR untuk melakukan perubahan.

Menurutnya, PH berjaya membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan sudah pasti ia tidak memerlukan teknik mengumpan tersebut dalam menarik pemimpin Umno ke dalam PKR mahupun parti lain di dalam PH.

“Sekiranya ada pemimpin Umno merasakan parti Umno itu rosak seperti kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman, mereka berhak tinggalkan parti politik berkenaan dan bersama PH untuk melakukan reformasi.

“Mereka yang berminat dengan PH harus melepaskan jawatan dalam Umno dan meninggalkan parti itu,” katanya selepas Majlis Bual Bicara Muafakat di Dewan Terbuka Kompleks Japerun Bemban, di sini, tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, PKR tidak semudah itu menerima ahli Umno namun perlu melalui satu proses bagi memastikan mereka memahami ideologi dan juga prinsip dalam PH.

“Sekali lagi yang ditegaskan Perdana Menteri, tidak ada sebarang bentuk kerjasama dengan Umno, kita tidak membenarkan kerana rakyat akan bangkit dan marah.

“Untuk menyertai mana-mana anggota dalam PH mereka mesti melalui proses supaya tidak akan ada satu suasana yang boleh merosakkan hubungan dalam PH,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat pemimpin parti itu diumpan dan menerima tawaran untuk keluar parti daripada Bersatu dan PKR.