KUCHING - Susulan PKR Sarawak adalah negeri terakhir yang akan mengadakan pemilihan menerusi pengundian secara dalam talian e-voting pada hujung minggu ini, tumpuan pastinya pada keputusannya yang akan menentukan jawatan utama dalam Majlis Kepimpinan Pusat.

Umum melihat pemilihan PKR  Sarawak sebagai  ‘penentu” sepertimana diakui oleh calon timbalan presiden parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa beliau menghadiri majlis makan malam PKR negeri di sini, malam tadi.

Tanpa menyebut nama pencabarnya Mohd Rafizi Ramli, Mohamed Azmin yang mempertahankan jawatan itu telah menggesa anggota di Sarawak untuk mengundi pemimpin yang menjaga kebajikan anggota dan tidak terperangkap dengan politik wang menjelang pemilihan itu.

PKR Sarawak yang diketuai pengerusinya Baru Bian, yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Menteri Kerja raya, dikatakan bersekutu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Daripada 29 Cabang yang akan mengadakan pemilihan di Sarawak, Cabang Julau diketuai Ahli Parlimen Julau Larry Sng, dikatakan bersekutu dengan kem lawan, telah mencetuskan kontroversi  – mencemarkan pemilihan parti apabila didakwa mempunyai anggota palsu.

Pada 26 Jun lepas, Cabang Julau mencatatkan peningkatan mendadak keahlian daripada sekitar 600 kepada 13,000 sehari kemudiannya, yang mendorong Ketua Penerangan PKR negeri Vernon Kedit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bulan lepas untuk menentukan kesahihan ahli itu.

Mohamed Azmin turut meminta SPRM menyiasat secara terperinci dan mencari dalang yang bertanggungjawab bagi dakwaan berhubung status ahli palsu itu.

Memburukkan lagi keadaan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dikritik kerana didakwa menggunakan jentera kerajaan atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri untuk melawat Julau dan Sibu pada Selasa lepas dengan diiringi Sng menjelang pemilihan parti.

Berbaki dua hari lagi untuk pemilihan, kebanyakan pusat pengundian di beberapa cabang masih belum dimuktamadkan, sebahagiannya disebabkan masalah tertentu dan proses pemilihan semula calon peringkat cabang.

Pengerusi PKR Petra Jaya Baharuddin Mokhsen berkata venue untuk ahli mengundi secara e-voting hanya akan diketahui selewat-lewatnya hari ini. Bagaimanapun, mereka masih boleh mengundi wakil parti menerusi kertas undi.

Di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai kemudahan internet, undi secara dalam talian akan diproses secara automatik tetapi wujud kebimbangan akan kemungkinan keputusan pemilihan boleh digodam, katanya kepada Bernama. –Bernama