SHAH ALAM - Umno belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau tidak di Parlimen Port Dickson, susulan pengosongan kerusi selepas Datuk Danyal Balagopal meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu akan diputuskan selepas BN mengadakan mesyuarat nanti.

Katanya, Biro Politik Umno dijangka bermesyuarat pada 24 September ini dan mesyuarat BN dijangka akan diadakan selepas itu.

"Oleh yang demikian, sebarang kenyataan atau pendapat yang diutarakan oleh mana-mana pemimpin atau ahli Umno berkaitan PRK Port Dickson adalah dianggap sebagai pendapat peribadi masing-masing dan mereka berhak dan tidak dihalang berbuat demikian.

"Pendirian rasmi Umno hanya akan dikeluarkan oleh ibu pejabat parti atau presiden pada masa difikirkan sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Port Dickson untuk Anwar]

Kelmarin, Danyal meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson secara sukarela bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan beliau bertanding, seterusnya diangkat sebagai perdana menteri kelapan kelak.