BALIK PULAU - Rakyat perlu membuat penilaian bijak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memilih parti yang punya agenda jelas untuk negara serta kekuatan dan kestabilan, demikian saran Pengerusi Biro Kebajikan Umno dan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini (Pulau Pinang) mengambil kesempatan dalam pilihan raya akan datang untuk memilih parti dan kerajaan yang benar-benar mempunyai kekuatan untuk mentadbir negara dan negeri yang menjaga  kebajikan rakyat.

"Sudah tiba masanya rakyat memilih parti yang bakal mentadbir ini adalah yang  mempunyai kredibiliti ada kestabilan dari segi parti, mempunyai kekuatan dan perancangan untuk masa  depan.

"Justeru tidak ada lain parti yang mempunyai ciri sebegini  melainkan parti Barisan Nasional (BN)  yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas program Umno Bantu Rakyat 2.0 di Bahagian Umno Balik Pulau yang menyaksikan 300 ibu tunggal  menerima  bantuan itudi sini hari ini.

Mengulas lanjut Shamsul Anuar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata rakyat Pulau Pinang telah memberi peluang kepada kerajaan DAP untuk mentadbir dan mereka sudah dapat melihat bagaimana kecelaruan dalam kepimpinan parti itu semasa  parti itu  mentadbir negeri ini.

"Kita lihat kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak boleh memberi  pembelaan malah banyakpolisi dan dasar yang mereka lakukan hanya menguntungkan sekelompok tertentu sahaja – mereka  yang ada kepentingan di situ.

“Saya fikir perkara ini tidak boleh berpanjangan dan sudah sampai ketikanya kita rakyat Pulau Pinang  bersikap matang.

“Apatah lagi negeri ini negeri yang punya potensi yang cukup besar dari segi ekonomi dan sebagainya. Jadi sudah tentu  potensi yang ada di negeri ini hanya boleh dibangunkan oleh  kerajaan BN yang sudah ada rekod kemampuan," katanya.

Tambah beliau pihak pembangkang hanya bijak menabur fitnah dengan memburukkan pihak lawan bagi mempengaruhi rakyat dengan perkara yang tidak benar.

"Sangat jelas sejak PRU 12 dan 13, mereka memfitnah memburukkan pihak lawan  dan mempengaruhi rakyat dengan perkara tidak benar dan bila rakyat terpengaruh dengan apa yang mereka sampaikan, maka mereka membina kekuatan daripada fitnah dan membohongi rakyat.

“Jadi sampai bila rakyat hendak terpengaruh dengan perkara ini,” katanya.

Shamsul Anuar berkata kerajaan BN terbukti bersifat adil dalam memberikan sebarang bentuk bantuan tanpa mengira siapa. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Dakwaan BN akan hilang kuasa di empat negeri pada PRU14 yang dibuat Pakatan Harapan adalah hanya untuk meningkatkan semangat dan motivasi kalangan pemimpin dan jentera mereka.
  • BAGAN SERAI - Umno sentiasa konsisten dalam membantu rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
  • KOTA KINABALU - Lebih 120,000 orang telah menerima manfaat daripada program Umno Bantu Rakyat sehingga kini selepas siri jelajah itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Mei lepas di Kuala Lumpur.