PETALING JAYA - Memilih wakil rakyat atau pemimpin dalam pilihan raya bukanlah perkara kecil dan keputusan mudah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat beberapa individu di Malaysia meremehkan pilihan raya dan hanya dijadikan tempat mereka melepas geram.

Menurutnya, terdapat juga yang membuat keputusan salah kerana terpengaruh dengan media sosial yang tidak tentu kebenarannya.

“Bagi orang Islam, betapa besarnya memilih pemimpin rakyat sehingga mereka menganggap lebih penting daripada mengebumikan jasad Nabi Muhammad.

“Apabila selesai urusan jenazah nabi, selesai solat jenazah, mereka (umat Islam) berhimpun di Madinah kerana memilih siapakah pemimpin mereka.

“Bagi orang bukan Islam, pilihan raya adalah tanggungjawab besar buat mereka. Ini bermakna pilihan raya tak boleh dianggap sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Pengisytiharan Calon PRK Dun Seri Setia, di sini, malam tadi.

Tambah Ahli Parlimen Marang ini, beliau berharap rakyat dapat berfikir dengan matang ketika mengundi kerana nilai undi amat besar, tidak boleh dijual beli.

 

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/nasional/prk-seri-setia-halimah-diumum-sebagai-calon-pas-1.869116

Sementara itu, Pas meletakkan bekas Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali sebagai calon di kawasan tersebut yang dijangka bakal menentang calon dari PKR yang akan diumumkan hari ini.

Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 3 Ogos lepas akibat kanser usus.

PRK Dun Seri Setia akan dijalankan serentak dengan PRK Dun Balakong pada 8 September depan selepas penyandang kerusi tersebut, Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.