GEMAS- PH Negeri Sembilan yakin kerusi Parlimen Port Dickson akan dapat dipertahankan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini meskipun berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata untuk memastikan kemenangan selesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya akan berusaha keras untuk memastikan peratusan keluar mengundi meningkat berbanding tiga PRK sebelum ini yang merekodkan peratusan keluar mengundi rendah.

"Selain gerak kerja untuk menarik pengundi keluar beramai-ramai, kita juga akan memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang kita kalah (Dun Bagan Pinang dan Linggi) pada PRU14 tempoh hari.

“Ini bukan bermakna kita akan meninggalkan kawasan yang sudah menang (Dun Chuah,Lukut dan Sri Tanjung)  tetapi kawasan-kawasan yang kalah itu perlu diberi tumpuan khusus untuk menarik penduduk keluar mengundi,” katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan  kepada  pemberita selepas  merasmikan  tapak kilang HeveaGro di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson diadakan pada Sabtu, 13 Oktober dan hari penamaan calon pada 29 September (Sabtu) manakala  hari pengundian awal pada Selasa, 9 Oktober.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan  berkata tarikh yang diumumkan SPR itu amat sesuai memandangkan hari pengundian adalah pada hari cuti mingguan.

"Tarikh 13 Oktober itu iaitu hari pengundian adalah pada hari sabtu dan juga selepas perayaan Pesta Tanglung, jadi kemungkinan peratus orang ramai keluar mengundi itu akan meningkat memandangkan ramai pengundi bercuti.

Bagaimana pun, inilah cabaran kepada saya selaku pengarah jentera pilihan raya PH untuk memastikan peratusan pengundi keluar mengundi semasa PRK nanti tinggi, " katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR itu bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat seterusnya bagi persediaan untuk dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Pada PRU14 lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Ini adalah PRK keempat selepas Dun Sungai Kandis,  Seri Setia dan Balakong. - Bernama.