SABAK BERNAM - Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam, Nor Farhana Alham menyifatkan kemenangan beliau dalam jawatan itu membuktikan perwakilan sayap itu menyambut baik peralihan daripada puteri kepada wanita.

Nor Farhana yang sebelum ini Ketua Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam berkata, beliau menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu kerana ingin meneruskan kesinambungan khidmat bakti dalam persiapan menghadapi PRU15.

"Di peringkat wanita cawangan, telah banyak puteri Umno jadi Ketua Wanita Cawangan.

"Saya kira ini sesuatu perkara baik dan melihat fenomena landskap politik kini dah berubah," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam di Bangunan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini.

Beliau memberitahu, penyertaan beliau dalam wanita Umno ialah ingin mengembalikan semula kepercayaan golongan muda selepas Umno mengalami kekalahan teruk pada PRU14 lalu.

"Kita tak nak orang hanya pandang wanita Umno hanya untuk veteran semata-mata," katanya.

Nor Farhana berkata, pemilihan kali ini bukan bertujuan mencari salah siapa dan ingin bermusuhan, sebaliknya menjunjung penuh sistem demokrasi yang diamalkan parti itu.

"Saya kira tak salah cuba menawarkan diri. Ini semua kuasa perwakilan yang mahukan perubahan," katanya.

Ditanya perancangan beliau selepas ini, Nor Farhana berkata, wanita Umno berdepan cabaran besar ketika ini iaitu bagaimana mereka menangani dan mendepani arus media sosial.

"Saya akui, dalam wanita Umno kurang pendedahan terhadap media sosial dan jika ada wanita muda menyertai wanita, mereka ini boleh sebarkan maklumat kepada veteran.

"Bukan menidakkan sumbangan dan semangat wanita sebelum ini, tetapi kita nak membantu mereka dengan gerakkan lebih agresif, tersusun dan lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Nor Farhana turut merayu sokongan semua wanita cawangan terutama di Dun Sabak untuk berganding bahu dan bekerja keras untuk merampas semula Dun berkenaan.

"Kita dah dua kali (penggal) kalah (dalam PRU) dan tak mahu kekalahan ini menjadikan kita lemah," katanya.

Dalam pemilihan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Sabak Bernam, Nor Farhana memenangi jawatan itu selepas menewaskan penyandang jawatan itu sebelum ini, Mastijah Ibak dengan majoriti 31 undi.

Nor Farhana memperoleh 160 undi, manakala, Mastijah mendapat 129 undi.