SHAH ALAM - MIC mahu semua ketua bahagian dan cawangan parti itu di Selangor menyokong penuh calon BN yang akan dipilih untuk bertanding pada PRU14 akan datang.

Naib Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, beliau mahu ketua bahagian parti berkenaan di Selangor akur dan menerima sepenuhnya calon yang diputuskan kepimpinan tertinggi BN.

"Saya tidak mahu nanti pelbagai isu sengaja ditimbulkan sehingga menggugat peluang calon untuk menang.

“Saya melihat BN Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Noh Omar berjaya mengembalikan sokongan rakyat terutama kaum India dan saya yakin BN akan kembali menjadi kerajaan di Selangor," katanya yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Yang Dipertua Dewan Negara Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan Sambutan Deepavali di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Vigneswaran berkata MIC kini sedang melakukan persiapan rapi dan telah mengenal pasti muka-muka baharu untuk dijadikan calon pada PRU akan datang, dan akan membawa perkara berkenaan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk diputuskan.

Sementara itu mengulas mengenai majlis berkenaan, Vigneswaran berkata kehadiran pemimpin tempatan dan orang ramai berbilang bangsa menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni.

"Saya menyeru rakyat agar kekal hormat-menghormati dan jangan mencetuskan isu perkauman," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (Harapan) hari ini melancarkan pek Do-It- Yourself (DIY) iaitu satu aplikasi kempen pilihan raya.
  • KOTA BHARU - BN Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kembali memerintah negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
  • PASIR MAS - PRU14 boleh disifatkan sebagai perjuangan DAP menentang BN memandang parti cauvinis Cina itu dilihat lebih mendominasi Pakatan Harapan.
  • MARANG - Pas Terengganu mengulangi pendirian parti itu untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi di Dun negeri Terengganu pada PRU14 tidak lama lagi.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tarikh PRU14, akan diadakan bila-bila masa sahaja daripada sekarang.