BERA - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperlekehkan golongan graduan menjual nasi lemak bagi menjana sumber pendapatan mereka menunjukkan tahap orang lama.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan akan mampu diperkembangkan dan diperluaskan sekiranya menggunakan konsep yang betul.

Menurutnya, graduan pada masa kini sebenarnya sangat kreatif mencari peluang untuk menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang perniagaan yang memberikan pulangan lumayan.

"Ramai dalam kalangan mereka sudah terlibat dalam perniagaan semasa menuntut di institusi pengajian tinggi lagi. Ini menunjukkan mereka kreatif dalam mencipta peluang pekerjaan sendiri. Sepatutnya, sebagai pemimpin, kita kena galakkan mereka.

"Tapi, Dr. Mahathir ini orang lama, dan tahap pemikiran juga mengikut cara orang lama.

Malah, usianya pun sudah mencecah 93 tahun dan sepanjang hayatnya, dia melihat apa yang berlaku waktu dia dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Moh Ngeteh Santai Sihat di Klinik Kesihatan Padang Luas, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Bera Dr. Azuwa Arif dan Pegawai Daerah Bera, Datuk Razihan Adzharuddin.

Kelmarin, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa peningkatan jumlah graduan tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan menyatakan, ramai graduan kini terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak.

Malah menganggap keadaan itu memalukan dan tidak sepatutnya ditunjukkan kepada media sebagai kejayaan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, semua pihak sepatutnya menggalakkan graduan terlibat dalam bidang keusahawanan dengan tidak mengharapkan bekerja makan gaji atau dengan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak mampu berkembang dan memberi pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi sokongan kepada orang ramai untuk menjadi usahawan  dengan menyediakan pelbagai bantuan dan peluang seperti di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Saya harap kita tidak bersikap negatif dengan melihat graduan yang berniaga itu malah terus memberikan sokongan dan galakan serta tidak terlalu mengharapkan untuk bekerja dalam sektor kerajaan" katanya.