PETALING JAYA - Semua calon dalam pemilihan PKR 2018 perlu bertanding secara baik tanpa sebarang serangan peribadi kepada lawan masing-masing.

Peringatan itu disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yamg mahukan proses pemilihan parti pada tahun ini dijalankan dengan ‘semangat kekitaan’.

Menurutnya, beliau mahu proses pemilihan parti berjalan lancar dan tunjukkan kepada parti lain bahawa PKR merupakan parti yang membawa prinsip perjuangan ikhlas.

“Dalam pemilihan parti, ini adalah satu proses demokrasi dalam parti. Ini biasa dan kita mahu semangat kekitaan, tiada selar-menyelar, tiada serangan peribadi.

“Kita mahukan perjalanan pemilihan parti dalam keadaan lancar dan tunjuk model PKR adalah parti bawa prinsip perjuangan ikhlas, baik dan bawa kepada kebenaran.

“Saya nak sampaikan kepada semua yang bertanding, kita bawa nilai-niai murni itu semasa proses pemilihan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir dalam sidang media itu memberi amaran kepada semua calon agar tidak menyalah guna kuasa dalam pemilihan tahun ini.

Menurutnya, jawatankuasa pemilihan harus memantau semua calon serta bertindak secara bersih dan bebas bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

“Saya tegaskan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) harus bertindak secara bersih dan bebas. Kalau ada yang tak mampu bersikap bebas, mereka harus undur.

“Mereka (JPP) harus pantau calon-calon untuk elak mereka salah guna kuasa Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco. Tak boleh guna kedudukan mereka untuk pujuk atau ugut ahli untuk raih undi.

“Belum ada laporan rasmi berhubung perkara ini tapi perkembangan itu sudah ada. Saya bertegas mahu semua perkara ini dihentikan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau yang bakal diberi mandat untuk memimpin parti tidak akan bertolak ansur dengan perkara negatif sebegitu termasuk serangan peribadi kepada lawan.