SELEPAS pemilihan Datuk Mohamed Awang Tera sebagai calon BN Dun Cukai diprotes, penyokong Mohamed membalas serangan dengan menaikkan kain rentang sokongan terhadapnya pula.

Kain rentang yang menyatakan sokongan terhadap Mohamed atau turut dikenali dengan panggilan ‘Mat Tera’ itu dinaikkan di setiap cawangan Umno di Dun Cukai.

Menerusi kain rentang itu, Pemuda Umno di setiap cawangan terbabit menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Mohamed sebagai calon N31 Dun Cukai.

Turut dipasang kain rentang tertera ‘Semua calon Barisan Nasional untuk Kemaman molek doh’.

Kesemua kain rentang itu dipasang di tepi jalan-jalan utama di Cukai sebagai reaksi balas sekelompok ahli dan penyokong Umno Cukai yang menolak keputusan mencalonkan Mohamed sebagai calon BN di kerusi panas itu.

Mohamed (depan, tiga kanan) bersama penyokongnya selepas majlis pengumuman calon BN Terengganu kelmarin.

Kain rentang membantah pencalonan Mohamed itu dipasang di sekitar Cukai, semalam namun tinjauan dibuat tadi dapati kesemuanya telah diturunkan.

Antara ayat tertera pada kain rentang bantahan itu adalah ‘Orang muda tak mboh Mat Tera’ dan ‘Cukai...Cukai Tolok Mat Tera’.

Perang kain rentang yang berlaku itu sememangnya memanaskan suhu politik di Cukai kerana belum pun kempen PRU14 bermula, perbalahan dalaman Umno Bahagian Kemaman sudah pun terserlah dan bukan lagi rahsia.

Malah, Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said turut mengeluarkan kenyataan memprotes pelantikan Mohamed sebagai calon BN Dun Cukai kerana dakwa beliau Mohamed mensabotaj calon BN Dun Cukai pada PRU13.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahmad ketika ditemu bual  pihak media selepas Majlis Pengumuman Barisan Calon BN Terengganu bagi PRU14 yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dek ketegangan itu, kerusi Dun Cukai kini menjadi tumpuan ramai dan pastinya jika ia berlarutan akan menguntungkan parti lawan apatah lagi pada PRU kali ini pertembungan tiga penjuru akan berlaku.

Protes terhadap pencalonan Mohamed dilakukan menerusi kain rentang yang dipasang kelmarin.

Ia berbeza berbanding PRU13 lalu yang menyaksikan pertandingan hanya melibatkan dua penjuru iaitu antara BN dan Pas.

Bagi PRU14, Pas mengekalkan penyandang Adun Cukai, Hanafiah Mat sebagai calon di kerusi itu.

Hanafiah, pada PRU13 melakar prestasi cemerlang apabila berjaya menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan majoriti kemenangan sebanyak 2,446 undi.

Hanafiah berjaya memperoleh 12,457 undi manakala Wan Ahmad Nizam sebanyak 10,011 undi.

Turut meletakkan calon di kerusi Dun Cukai kali ini adalah PKR, namun sehingga kini calon tersebut masih belum diumumkan.

Pertembungan tiga penjuru di N31 kali ini pastinya bakal memberi cabaran kepada Hanafiah untuk pertahankan kemenangannya.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, Hanafiah pernah tewas di tangan Mohamed.

Dalam PRU12 pada 2008, Mohamed yang mendapat 9,541 menang dengan majoriti 769 undi mengalahkan Hanafiah yang memperoleh 8,772 undi.

Mohamed merupakan bekas Adun Cukai dari 2004 hingga 2013 sebelum direhatkan pada PRU 2013.

Dengan krisis yang dilihat kembali membadai Umno Bahagian Kemaman ketika ini, adakah BN mampu merampas semula Dun Cukai dari Pas?

Semuanya akan terjawab pada hari pengundian 9 Mei nanti.