• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 /

[DIKEMAS KINI] GEORGETOWN - Penyokong Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan sokongan penuh kepada semua calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa mengambil kira sentimen perkauman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sokongan masyarakat berbangsa Cina atau bangsa lain adalah berdasarkan kewibawaan calon dalam usaha membela nasib rakyat, bukan membabitkan isu calon Melayu atau bukan Melayu.

“Saya yakin penyokong PR dan pengundi amnya akan memilih calon yang mana boleh menjamin kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi dalam negara tanpa memilih kaum demi kepentingan nasional.

“Kalau nak undi Barisan Nasional mestilah penyokongnya mengikut kaum. Sebaliknya, penyokong PR dan masyarakat umum tentulah akan memilih calon yang sentiasa memberikan keprihatinan isu rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, DAP tetap komited untuk capai matlamat menang besar pada pilihan raya akan datang melalui kerjasama dengan rakan dalam PR, iaitu Pas dan PKR.

“Saya yakin penyokong DAP akan memberi sokongan penuh kepada calon yang mewakili Pas dan PKR yang bertanding pada PRU akan datang berdasarkan manifesto PR, bukannya memilih calon berdasarkan bangsa," katanya.

Guan Eng meminta penyokong PR dan rakyat umumnya memilih calon-calon yang dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Rakyat perlu memilih calon berdasarkan isu-isu seperti pendidikan percuma, perkhidmatan internet tanpa wayar dan perkhidmatan tol lebuh raya utara yang percuma, bukannya memilih calon mengikut bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, amalan memberi kemenangan kepada calon bukan sebangsa dan seagama sudah lama dipraktikkan semua parti dalam komponen PR.

Katanya, bagi memastikan kemenangan kepada PR, penyokong parti itu lebih senang memilih calon bersih, ikhlas berkhidmat dan berjuang pertahankan rakyat.

Menurutnya, tiada guna menyokong pemimpin dari bangsa dan agama sendiri sekiranya pemimpin tersebut mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tiada masalah kalau sokong bukan Melayu. Dari dulu kita amalkan (demikian). Contohnya, saya mewakili Pas di kawasan yang bukan majoriti Melayu, namun tetap memberikan kemenangan kepada PR,” katanya mengulas permintaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar orang Melayu ketepikan perkauman demi kemenangan Barisan Nasional.

Sambil menyifatkan kenyataan Dr Mahathir sentiasa berubah-ubah dan menimbulkan kontroversi, beliau menegaskan tiada halangan kepada bukan Melayu dan bukan Islam, terutama ahli DAP menyokong Pas.

Malah katanya, isu membabitkan agama dan kaum sengaja dimain dan digembar-gemburkan oleh BN untuk memecahbelahkan rakyat.

“Provokasi rasis ini sengaja diperbesarkan BN untuk mencetuskan suasana tidak senang tetapi saya percaya penyokong PR tidak terpengaruh dengannya,” katanya.