SHAH ALAM - Pas perlu terima hakikat bahawa rakyat tidak mahu parti yang  bergabung  dengan BN.  

Timbalan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata parti itu kalah disebabkan pengundi menolak kerjasama itu.

“Kenyataan Dr Halimah bahawa Pas menang dalam kalah itu hanya bertujuan menyedapkan hati  jentera partinya yang sudah ‘all out’ ketika berkempen,” katanya.

Katanya, dengan latar belakang dimiliki Halimah sebagai bekas Adun serta bekas Exco negeri, sudah tentu beliau terpaksa cakap begitu apabila pencapaian diperoleh tidak seberapa.

“Sepatutnya Halimah kena terima hakikat, Pas kalah kerana rakyat tak mahu sokong orang yang bekerjasama dan  bersekongkol dengan BN...Rakyat tolak orang yang khianati mandat diberi sebelum ini.

“Beliau perlu sedar, kenapa rakyat memilih calon PH iaitu Halimey Abu Bakar yang merupakan orang baru, tak pernah jadi Adun atau Exco pun tapi mampu kalahkan beliau yang semua orang sudah tahu mempunyai ‘track record’ sebagai Adun selama 10 tahun, pernah jadi Exco negeri lebih lima tahun malah punyai personaliti yang berjaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Adun Lembah Jaya itu berkata, selain itu, pada PRK Seri Setia ini, PH buat kali pertama menggunakan logo baru Harapan yang rasmi berbanding logo PKR seperti digunakan pada PRU14 dan PRK Sungai Kandis.

“Kita pakai logo baru kali ini, rakyat tetap undi PH maknanya orang tahu PKR adalah sebahagian daripada PH. Tapi kenapa orang tak undi Pas sedangakan logo Pas tu memang semua orang tahu, malah calonnya (Halimah) memang semua orang kenal.

“Jadi Halimah harus ambil kira perkara ini....Kenapa rakyat terus memilih PH dan menyokong Halimey tapi bukan beliau mahupun partinya,” katanya.

Haniza berkata, kekalahan Pas di Seri Setia seharusnya dilihat sebagai isyarat buat parti itu kerana jelas penolakan rakyat terhadap mereka dan bukan kepada PH.

Katanya, kemenangan PH pula membuktikan bahawa parti gabungan yang kini menjadi kerajaan baharu itu masih relevan kepada rakyat.

Terdahulu, Halimah menyifatkan kekalahannya pada PRK Seri Setia sebagai menang dalam kalah ekoran beberapa pencapaian positif dicapai Pas menerusi PRK tersebut.

Antara pencapaian tersebut jumlah undi Pas meningkat berbanding PRU14 iaitu dari 4,563 undi kepada 9,689 pada PRK tersebut, menang menerusi undi awal serta undi pos termasuk mengekalkan kemenangan di Daerah Mengundi (DM) PJS5 serta menang buat kali pertama di DM Sungai Way.

Halimah berkata, walaupun PH menang tapi jumlah undi mereka merosot.