• Ahmad Bashah Ahmad Bashah
1 /

ALOR SETAR - Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) Kedah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 hampir dimuktamadkan, kata Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Hanya tinggal satu, dua kerusi di kawasan tertentu yang belum ada calon kerana ramai sangat pemimpin dan tokoh yang berkaliber ingin bertanding tapi kami perlu memilih seorang sahaja bagi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen," katanya.

Beliau berharap penyokong-penyokong Umno dan BN memberi kepercayaan penuh kepada parti dalam pemilihan calon untuk  bertanding di kerusi DUN dan Parlimen di kawasan mereka.

"Penyokong perlu menyokong keputusan yang telah dibuat oleh parti dan perlu sayang parti lebih daripada segala-galanya kerana ini  untuk masa depan mereka dan Malaysia juga," katanya selepas pelancaran Program Gelombang Biru di Dewan Taman Wira di sini hari ini.

Melalui program anjuran Wanita BN Parlimen Alor Setar itu, sebanyak 11,000 bendera dan pelekat BN akan diagih kepada  penyokong-penyokong BN untuk diletak di kawasan rumah mereka. - Bernama