• . .
1 /

SHAH ALAM  - Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berpendapat, penyertaan Berjasa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hanya akan memberikan kesan terhad, tidak sehingga membawa wujudnya kuasa ketiga dalam politik tanah air.

Hal ini kerana, parti-parti kecil dan NGO ini terpaksa bersaing dengan dua kuasa besar yang semakin memantapkan kedudukan mereka dalam arena politik tanah air.

"... jika ada peranan untuk calon atau pihak ketiga, ia mungkin sangat khusus kepada keadaan tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Berjasa atau parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia yang suatu ketika dahulu pernah mewarnai politik Kelantan, baru-baru ini mengumumkan akan turut bertanding dalam PRU13.

Difahamkan, parti itu kini sedang membuat persiapan untuk meletakkan calon di 150 kerusi pada PRU13 dengan tujuan mahu menambah suara orang Melayu di Parlimen dan Dewan  Undangan Negeri (Dun).

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan juga memaklumkan akan turut bertanding menggunakan lambang Berjasa dengan menyenaraikan 11 kerusi sebagai sasarannya buat masa sekarang.

Selain itu, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) juga dikatakan akan turut meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Menurut Ibrahim, dalam konteks parti kecil dan NGO ini, jika mereka boleh meletakkan calon yang betul-betul tulen perjuangannya, terkenal di kawasan yang ditandingi serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, tidak mustahil ia akan membawa kemenangan buat mereka.

"Kalau setakat (bergantung atas nama) parti sahaja, mereka ini lazimnya dapat tidak lebih daripada lima peratus undi," ujar beliau.

Bagaimanapun, kehadiran parti-parti ini katanya, boleh menyebabkan berlakunya pecahan undi di kawasan-kawasan yang kedudukan kedua-dua parti, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, jurangnya agak rapat.

"Mungkin ada kebolehan untuk perkara seperti itu berlaku.

"Ada dua tiga tempat di mana pembangkang tidak menang kerana undi mereka itu diambil oleh Parti Kebangsaan Sarawak," ujar beliau.

Ibrahim juga tidak menolak ada kemungkinan penyertaan parti-parti kecil dan NGO ini atas tajaan pihak-pihak tertentu.

"Kewujudan ada pihak yang membiayai parti-parti kecil ini untuk bertanding, untuk memecahkan undi itu, kemungkinan itu besar sebab itu adalah strategi pilihan raya untuk mengurangkan undi lawan," ujarnya.

Dalam pada itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain juga punyai pandangan sama.

"Pada pandangan saya memang ada orang-orang yang akan menaja tokoh yang akan bertanding bawah Berjasa di kawasan-kawasan yang Barisan Nasional sukar hendak menang dan 50-50," katanya.

Penyertaan parti-parti kecil dan NGO ini katanya, tentunya mendatangkan keburukan dari segi pecahan undi.

Meskipun begitu, baiknya adalah apabila jika parti-parti kecil dan NGO ini menang dan mereka ini seperti Berjasa yang sudah diketahui sebagai rakan karib BN sebelum ini, memilih untuk menyertai parti pemerintah.

"Mereka (Berjasa) ini tidak mahu masuk Umno tetapi mereka hendak bertanding berasingan.

"Tetapi walaupun bertanding berasingan, ada satu kebaikannya, bila bertanding mereka menang, mereka akan menyertai Barisan Nasional. Jadi Barisan Nasional akan bertambahlah komponennya nanti," ujar Atory.

Namun kata Atory, ia hanya kemungkinan.

Parti-parti ini juga mungkin tidak memilih untuk menyertai mana-mana pihak yang akhirnya hanya menyebabkan kepada pecahan undi yang merugikan parti-parti besar yang bertanding.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pembabitan NGO-NGO dalam pilihan raya memberi gambaran timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka terhadap parti-parti politik di negara ini.

"Jika NGO memilih untuk bertanding dalam pilihan raya, ini bermakna ada isu-isu tertentu yang mereka juarai tidak diperjuangkan secukupnya oleh parti-parti politik.

"Tetapi jika mereka tidak ada sebab yang khusus, agak aneh untuk mereka bertanding kerana NGO lazimnya tidak bertanding dalam pilihan raya," ujar Mustafa.

Beliau percaya, pembabitan NGO dalam politik ini adalah "opsyen terkahir" kerana teguran dan kehendak mereka ini yang tidak didengari.   

Bercakap tentang adakah mereka ini akan menjadi kuasa ketiga, Mustafa berkata, ia bergantung kepada rakyat.

"Soalnya sekarang adakah rakyat akan memberikan undi kepada mereka ini, ia bergantung kepada keadaan.  

"Saya melihat sangat sukar kepada NGO-NGO ini kerana mereka berlawan dengan parti-parti yang senior," ulas beliau.