SHAH ALAM - Seorang pengamal media arus perdana, Mior Azlan Mior Kamarulbaid, 35, menawarkan diri untuk mengisi tampuk Exco Pemuda Umno.

Beliau yang juga Ketua Umno cawangan Taman Tun Abdul Razak berhasrat menjadi sebahagian kepimpinan Pemuda Umno penggal 2018-2021 berikutan mahu memperbaiki kembali parti itu yang menghadapi krisis kepimpinan setelah tewas teruk pada PRU14 lalu.

"Agenda yang ingin dibawa dalam Pemuda kelak termasuk mendekati dan menyelami kehendak pengundi muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang media mahu terus memperkasa kepentingan kesahihan berita.

[ARTIKEL BERKAITAN: Calon termuda tanding Exco Pemuda Umno]

"Saya perlu menjadi pemuda bertanggungjawab untuk bina semula parti, melihat kesedaran PRU14 yang mana penyebaran maklumat tidak sahih ‘berita tidak benar’ , pemainan pesepsi ia tidak bagus dalam politik baru Malaysia.

"Sebagai pengamal media saya optimis tugas berat untuk bantu Umno, bina semula Umno untuk kembali releven," katanya.

Bagaimanapun jelas Mior Azlan, ia terpulang kepada penerimaan ahli Pemuda Umno seluruh negara kerana mereka berkuasa untuk memilih.

Sebelum ini, Mior Azlan bergiat aktif dalam sukan dalam Bola sepak mewakili JPA 2002- 2003 , wakil Institut tadbiran awam negara Intan 2004- 2005 di Liga Kuala Lumpur Divison 1 & 2 dan  PBSD Petaling Liga Perdana Selangor 2006.

"Saya tiada masalah dengan kepimpinan dan kerajaan sekarang. Bagi saya kerajaan adalah untuk rakyat, parti adalah untuk ahli dan saya akan bersuara untuk kebaikan semua," katanya.

Sehingga kini sudah lebih 200 calon menawarkan diri bagi Exco Pemuda Umno Malaysia.

Jelas Mior Azlan, minat yang di tunjukkan oleh ramai anak muda terhadap kerusi exco Pemuda Umno membuktikan parti itu masih berada di hati ramai.