SHAH ALAM - Ketua Biro Pendaftaran Keahlian dan Pengundi Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyatakan pendaftaran ahli bagi parti itu berbeza dengan Umno.

Katanya, Bersatu lebih terbuka menerima mana-mana individu yang mahu menyertai parti itu tetapi dalam masa yang sama kaedah tapisannya lebih ketat.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan parti itu disertai pihak yang hanya mahu memastikan kelangsungan politik mereka semata-mata.

"Kita ada beberapa kaedah untuk pendaftaran ini sebagai contoh cara manual di mana jika seseorang itu nak jadi ahli Bahagian Jerai, dia boleh serahkan borang keahlian di Bahagian Segambut. Kaedah ini bagi memudahkan individu itu didaftarkan.

"Kalau sukar bertemu dengan pemimpin berkaitan dengan pendaftaran, orang ramai boleh daftar keahlian Bersatu menerusi atas talian. Bila sudah daftar (pendaftaran telah lengkap berbayar), mereka akan terima satu email pemakluman dan nombor ahli serta dimasukkan dalam senarai. Akan tetapi pengesahan ahli ini adalah di bawah kuasa setiausaha agung parti," katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika berucap pada Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua Bersatu 2018 berkata, pihaknya akan menolak kehadiran anasir luar dan mereka yang bermata duitan yang cuba menghimpit parti itu demi kelangsungan politik masing-masing.

Jelasnya, anggota parti lain yang cuba berhijrah ke Bersatu akan ditapis terlebih dahulu dan tidak diterima sewenang-wenangnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu tolak ahli 'mata duitan': Mukhriz]

Mengulas lanjut, Akhramsyah yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, setiausaha agung parti mempunyai kuasa untuk tidak mengiktiraf keahlian seseorang berdasarkan kepada prosedur tapisan yang dibuat walaupun telah mendaftar dan mempunyai nombor keahlian.

"Mereka ini boleh ditolak selagi tidak terlibat dengan mana-mana program berkaitan perlembagaan parti seperti mesyuarat agung.

"Kita terbuka untuk pendaftaran keahlian tetapi dalam masa sama kita tidak mahu orang yang terlibat dengan salah laku dan rasuah. Kita mahu orang yang ikhlas berjuang dalam parti dan tidak mahu jadi seperti Umno," katanya.

Tambahnya, Bersatu kini mempunyai sistem lembaga disiplin lebih ketat dan tidak hanya mengikut telunjuk kepimpinan.

"Dalam hal ini kita tidak mahu jadi seperti Umno dalam kes Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika dalam Umno. Ahli akan dilindungi oleh perlembagaan parti," katanya.