SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail menyifatkan pencapaian Pas dalam PRK Seri Setia pada Sabtu lalu sebagai isyarat penting buat PH.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Selangor berkata, walaupun parti Islam itu tewas dengan PH tetapi pada masa yang sama mereka mencipta rekod antaranya berjaya meningkatkan bilangan undi berbanding PRU14 lalu iaitu dari 4,563 undi kepada 9,689 undi pada PRK kali ini.

“BN Selangor khususnya melihat pencapaian tersebut sebagai kejayaan awal dari segi memberi isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat menginginkan sesuatu perkara seperti yang dijanjikan.

“Walaupun calon Pas, Dr Halimah Ali kalah tapi undi terhadap Pas catat peningkatan di situ dan ini adalah perkembangan yang sangat baik. 

“Jika kerajaan hari ini terus gagal menunaikan janji seperti diperkatakan sebelum ini, saya yakin akan lebih ramai rakyat sedar yang diri mereka sedang ditipu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Adun Sungai Air Tawar itu berkata, BN Selangor juga senada dengan Pas bahawa kemerosotan bilangan undi PH daripada 29,250 undi pada PRU14 kepada 13,725 pada PRK kali ini adalah amaran kepada PH untuk lebih cakna terhadap rakyat termasuk janji-janji yang ditabur.

“Kami di pihak pembangkang hari ini juga menunjukkan kesepakatan dalam membentuk pembangkang yang kuat untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan....itu paling penting.

“Bagi kita kebajikan kepada rakyat adalah fokus utama...Kita tak mahu rakyat tertindas atau tertipu dengan segala janji manis PH dan akhirnya punah harapan mereka,” katanya.