GOMBAK - Umno Gombak melakukan transformasi bagi sayap Pemuda selepas penyandang bagi kerusi itu tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut.

Penyandang Ketua Pemuda Umno Gombak, Zazman Shah Zainal berkata, beliau nekad melepaskan jawatan itu dan akan memberikan sokongan kepada muka baharu yang bakal menerajui kepimpinan Pemuda.

Zazman.

Menurutnya, beliau memilih untuk bekerja di belakang tabir bagi menarik sokongan kumpulan pemuda dan pengundi baru.

"Lepas kekalahan teruk di Gombak dan Malaysia, saya berbincang dengan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahim Kamarudin untuk sama-sama tidak mempertahankan jawatan dan memberi laluan kepada calon baharu dengan idea baru yang boleh membuat perubahan di Gombak.

"Kalau saya bertanding insyaallah boleh menang tapi saya sendiri rela hati lepaskan jawatan ini demi transformasi Umno Gombak," katanya yang menyandang jawatan itu sejak 2016 selepas penyandang terdahulu, Mohamed Muizz Shadik meninggal dunia.

Jelasnya, kesemua tiga calon Ketua Pemuda yang bertanding mempunyai kelayakan dan kekuatan masing-masing.

Zazman (dua kanan) bersama jawatankuasa bagi sesi 2013-2018.

"Di Gombak unik kerana setiap kali pemilihan akan ada pertandingan bagi mengisi jawatan. Semasa pemilihan 2013 pertandingan melibatkan dua penjuru manakala kali ini tiga penjuru.

"Cuma saya harap selepas pemilihan dan siapa jua dilantik dapat meneruskan semangat berpasukan serta menarik calon yang kalah dalam merangka gerak kerja," katanya.

Tiga calon merebut jawatan tersebut Zaidel Baharuddin (Cawangan Melawati Fasa 2), Ahmad Feardaus Daud (Bandar Baru Keramat Permai) dan Mohd Fahmy Alfian (Bandar Samudra).

Difahamkan dua muka baharu bakal mengisi jawatan Ketua Bahagian Gombak terdiri Penyandang Timbalan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan  Ketua Cawangan Taman Sunway Batu Caves, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah.