HULU TERENGGANU - Barisan Pemuda dan Puteri Umno di pelbagai peringkat harus menguasai serta menjuarai perang siber, sekali gus lebih agresif lagi melakukan serang balas bagi menangkis segala fitnah dilemparkan pembangkang melalui laman sosial.

Ahli MajlisTertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya fitnah itu tidak dijawab atau tiada sebarang serang balas dilakukan ia menampakkan seolah-olah kerajaan sahaja bersalah dan pembangkang seperti tidak bersalah.

“Dalam dua pilihanraya lepas saya nampak pembangkang lebih ke depan dari segi kuasai perang siber berbanding kita. Sekarang ini walaupun saya tidak tahu kekuatan kita dan pembangkang, Pemuda serta Puteri Umno perlu menjuarai perang siber.

“Golongan muda rata-rata tidak membaca media ‘mainstream’, mereka lebih bergantung kepada media sosial dan segala perkara dibaca mereka adalah melalui media sosial. Sebagai orang muda, Pemuda Puteri Umno perlu lebih agresif, kita perlu dahului pembangkang.

“Kalau mereka(pembangkang) memfitnah kita melalui media sosial dan kita tiada jawapan kepada fitnah tersebut, akhirnya ia akan membentuk satu persepsi baharu dalam kalangan golongan muda sehingga mereka percaya fitnah dilemparkan itu.

“Oleh itu, kita mesti mempertahankan serangan dan pada masa sama perlu jadi macam mereka dengan mendedahkan segala kepincangan mereka kerana pembangkang juga tetap ada kelemahan.Kita bukan setakat mempertahankan tetapi juga menyerang balas, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu  Tahun 2017 di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari; Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat serta ketiga-tiga ketua Sayap iaitu Wanita, Wanita dan Puteri.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, serang balas perlu dilakukan supaya rakyat tidak terus terpengaruh dengan fitnah dilemparkan pembangkang disebabkan kerajaan tidak menjawab atau menyerang balas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian perlu proaktif dan pantas menangkis fitnah dilemparkan pembangkang terhadap kepimpinan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • SHAH ALAM - Penyebaran kenyataan media Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi yang diputarbelit dan diubah fakta seolah-olah menghentam Presiden Pas adalah fitnah terhadap Pas Selangor.
  • TELUK INTAN - Tindakan DAP menyamakan Perbadanan Menteri Besar Perak (Perak MB Inc) dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanyalah taktik mereka untuk meneruskan kelangsungan parti berkenaan.
  • SEREMBAN - MCA Negeri Sembilan menggesa DAP supaya berhenti daripada membuat komen berbaur fitnah mengenai pelaburan asing yang dibawa masuk oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.