KOTA KINABALU - Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk mengenal pasti sejauh mana tahap keberkesanan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pemangku Ketuanya, Christoper Mandut berkata, isu MA63 hangat diperkatakan dan banyak pihak yang membangkitkan perkara itu dan menjadikannya bahan kempen pada pilihan raya umum lepas.

"Oleh itu Pemuda PBS berpendapat isu ini perlu ditangani demi keutuhan dan perpaduan masa depan persekutuan Malaysia dan jawatankuasa itu perlu ditubuhkan," katanya ketika berucap pada Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS bersempena Kongres PBS Ke-32, di sini, hari ini.

Beliau berkata Pemuda PBS menyarankan jawatankuasa itu dianggotai Anggota Parlimen Sabah dan Sarawak daripada pembangkang dan kerajaan manakala hasil penyelidikan dan penemuan fakta oleh jawatankuasa khas itu perlu dibentangkan bersama-sama syor langkah-langkah penambahbaikan jika perlu.

Katanya Pemuda PBS yakin penubuhan jawatankuasa itu akan memberi input berguna kepada rakyat di negara ini dan seterusnya menjelaskan perkara yang berhubung kait dengan perjanjian pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi bahan permainan manipulasi pihak tertentu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :