SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan turut menyatakan hasrat agar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden parti dalam pemilihan Ogos depan.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya percaya Anwar mampu membawa parti dan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“(Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyatakan bahawa beliau bersedia untuk mengundur diri sekiranya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim putuskan untuk bertanding sebagai Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang.

“Melangkah ke hadapan, kami berharap Anwar akan bertanding sebagai Presiden PKR,” katanya di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin mencadangkan agar Anwar bertanding jawatan Presiden PKR sebagai persediaan PKR untuk masa depan lebih baik memandangkan Anwar merupakan calon Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Menurut Nik Nazmi, sebagai presiden parti, Anwar akan mendapat sokongan daripada sebuah pasukan yang muda, dinamik dan majmuk sekali gus bersedia serta mampu untuk berkhidmat kepada negara.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menyifatkan Wan Azizah berjaya melakar sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di negara ini dan perintis bagi wanita di Malaysia dalam bidang politik.

Semalam, Wan Azizah dilaporkan akan berbincang dengan suaminya, Anwar berhubung keputusan bertanding bagi jawatan Presiden PKR dalam pemilihan bulan depan.