• Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Anwar Ibrahim
1 /

SHAH ALAM - Seorang pemimpin MIC membidas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau bersedia 'menghalusi' manifesto pilihan raya pakatan pembangkang bagi memenuhi keperluan masyarakat India.

Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat parti Mohana Muniandy berkata pelan pembangunan bagi masyarakat India sepatutnya telah dimasukkan ke dalam manifesto sejak awalnya dan bukan selepas kritikan dibuat pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat India.

"Ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia jelas menunjukkan wakil kaum India daripada pakatan pembangkang tidak mampu merangka pelan bagi masyarakat India," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM70,000 daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Kuil Mahamariamman di Kota Kemuning di sini malam tadi.

Anwar dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata manifesto pilihan raya yang dilancar pakatan pembangkang pada 25 Feb masih terbuka untuk maklum balas dan cadangan daripada pemimpin masyarakat India untuk membolehkan ia diperhalusi.

Mohana berkata kesediaan Anwar untuk memperhalusi manifesto bagi memenuhi keperluan kaum India menunjukkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu sangat terdesak untuk memenangi hati masyarakat India.

Dalam perkembangan lain, Mohana yang juga Presiden Power Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mesra Barisan Nasional, berkata beliau merancang menubuhkan sebuah majlis untuk menyelaraskan semua kuil Hindu dalam kawasan Parlimen Kota Raja.

Sementara itu, pengerusi Kuil Mahamariamman Datuk Nathan Suppiah berkata jawatankuasa itu memerlukan sekurang-kurangnya RM1.6 juta untuk menyiapkan fasa pertama kuil itu.

Beliau berkata kuil itu akan dijadikan tempat untuk aktiviti pembangunan sosial golongan belia India.

"Kita juga merancang untuk membina dewan serba guna tiga tingkat dalam kawasan kuil yang boleh menampung kira-kira 1,000 orang pada satu-satu masa," katanya dan menambah pembinaan kuil itu dijangka siap Februari tahun depan.

Terdahulu, penganut agama Hindu mengadakan sembahyang khas di kuil itu untuk mendoakan keselamatan rakyat dan anggota keselamatan di Sabah ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu. - Bernama