GEORGETOWN - Pemimpin dan ahli PKR digesa memperkukuh barisan untuk bersama-sama mengusahakan agenda baharu pasca 9 Mei (509) demi kepentingan parti, Pakatan Harapan (PH) dan Malaysia amnya selepas pemilihan parti itu yang akan bermula pertengahan bulan ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Gooi Hsiao Leung berkata parti itu amat memerlukan agenda pembaharuan dan hala tuju yang baharu selepas pilihan raya umum  pada 9 Mei lalu.

“Kita harus sedar yang kita ada tanggungjawab besar, bukan sahaja terhadap parti kita tetapi juga negara kita khususnya selepas 509 kerana keputusan daripada pemilihan parti kita akan memberi kesan kepada kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Merujuk kepada percakaran terbuka calon timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Amin Ali dan Rafizi Ramli, beliau berkata pertelingkahan kedua-dua pemimpin PKR itu  hanya melemahkan PH.

Mengulas lanjut Gooi berkata pemilihan parti  tidak harus menjadi pertandingan  personaliti, sama ada seseorang menyokong Rafizi atau Azmin.

“Matlamat pemilihan parti ialah agar kita dapat menjadi sebuah parti yang lebih kuat dan bersatu,  bukan berpecah, untuk merealisasikan agenda pembaharuan pasca 509 iaitu menjadikan PH lebih kuat supaya ia dapat memberi sepenuh tumpuan kepada memenuhi mandat yang diberi rakyat Malaysia Baharu,” katanya.

Menurut Adun Bukit Tengah itu segala perbalahan berkaitan kesetiaan dan siapa reformis sebenar dalam parti sejak 20 tahun lalu hanyalah mengarut.

Malah katanya, perkara itu hanya menjejaskan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim di mata umum selaku bakal presiden parti dan perdana menteri selain turut memberi kesan terhadap kredibiliti PH untuk mentadbir negara.

“Pada pemilihan parti kali ini kita benar-benar melampaui batas dengan sikap ‘berpatah arang berkerat rotan’  terutama dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden,” katanya. – Bernama