MARANG - [VIDEO] Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan keputusan menamakan Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri adalah satu keputusan tepat.

Malah kebencian ditunjukkan BN terhadap keputusan kepimpinan barisan pembangkang itu menjadi petanda Harapan kini berada di landasan yang betul dalam menghadapi PRU14.

“Jika Barisan Nasional memperlekehkan sesuatu maksudnya ada benar kita buat keputusan itu. Jadi saya rasa jika dipuji itu ada masalah....jadi apabila dia (BN) mengecam (keputusan) kita, is a right track,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Marang di Kampung Padang Leban petang tadi yang turut dihadiri pemimpin tertinggi pakatan itu di Terengganu, petang tadi.

Sebelum ini, Harapan bersetuju menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU14.

Pakatan pembangkang itu juga turut bersetuju menamakan  Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri dalam satu sidang media di Shah Alam minggu lalu.

Nurul Izzah berkata, pakatan pembangkang hanya akan mengecam BN jika parti itu menganiaya rakyat namun BN melakukan sebaliknya terhadap kepimpinan Harapan.

“Selama ini, pakatan pembangkang tetap memuji BN jika mereka membuat dasar baik kepada rakyat dan (hanya) dasar yang buruk (terhadap rakyat) serta rasuah sahaja kita kecam,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membayangkan beliau bersedia menentang Tan Sri Shahrir Samad untuk rebut kerusi Parlimen Johor Bahru pada PRU14 sekiranya diarahkan parti.
  • KUALA LUMPUR - Hukuman penjara 30 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas keraninya, Johari Mohamad menimbulkan persepsi tiada perlindungan setimpal terhadap pemberi maklumat di negara ini.
  • BUKIT MERTAJAM - Pengakuan terhadap kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan apa yang dibangkitkan oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah benar.
  • SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menerima permohonan maaf Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibuat pada mesyuarat agung tahunan parti itu, semalam.