SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menerima sebarang aduan berhubung tindakan calon timbalan presiden, Rafizi Ramli yang melakukan serangan peribadi terhadap seorang lagi calon, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din berkata, pihaknya hanya akan mengambil tindakan jika mendapat aduan rasmi berkaitan pelanggaran peraturan dalam pemilihan parti.

“Serangan peribadi memang tidak dibenarkan dalam kempen pemilihan. Kalau ada aduan kita akan  ambil tindakan, tetapi buat masa ini tak ada sebarang aduan berkaitan isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Pemilihan PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dan Mohamed Azmin yang juga penyandang jawatan timbalan presiden parti.

Rafizi semalam dalam kempennya di Pahang mendakwa, ada pemimpin berjawatan menteri besar tidak membantu parti mendapatkan dana bagi menghadapi PRU14 lalu.

Walaupun tidak menyebut nama, dakwaan Rafizi dipercayai merujuk kepada Mohamed Azmin yang ketika itu merupakan Menteri Besar Selangor.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, ahli parti perlu menilai sendiri sikap calon yang bertanding sebelum membuat pilihan.

“Bagi saya, kempen yang sihat ialah calon menonjolkan kelebihan masing-masing bukan serang peribadi lawan. Kita semua adik-beradik, tak perlu nak buat serangan peribadi.

“Semua orang tahu kita ada etika dan kalau ada orang sengaja langgar etika itu, buat perkara tak elok, adakah kita akan ambil jadi pemimpin? Ahli parti patut nilai dan pilih calon mana yang sesuai dan boleh ke hadapan untuk kukuhkan parti,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peringatan buat semua calon pemilihan PKR]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan PKR: Tak perlu serangan peribadi]