KLANG - Rata-rata pengundi di pusat pemilihan PKR Cabang Klang mengeluh apabila mereka terpaksa berdiri lebih setengah jam sebelum dibenarkan masuk ke dewan pengundian.

Salah seorang yang ingin dikenali sebagai Wan berkata, hanya 10 pengundi dibenarkan masuk dalam satu-satu masa menyebabkan yang lain terpaksa menunggu lama.

“Walaupun ada khemah disediakan tapi kami terpaksa berdiri. Nak tunggu untuk masuk ke dalam dewan pun ambil masa dalam setengah jam.

“Cuaca sekarang pun agak panas. Tapi nasiblah ada petugas sediakan air untuk kami di sini sementara nak tunggu masuk ke dewan, “ katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Warga emas, M Sarasvari, 60, berkata, pada awalnya dia terpaksa beratur lama bersama pengundi lain sebelum dimaklumkan warga emas diberi laluan khusus.

“Dekat sejam jugalah makcik berdiri sampai terpaksa duduk sebab lutut dah mula sakit. Makcik tak tahu yang warga emas diberi laluan khas.

“Patutnya dari awal lagi petugas ni beritahu. Tak ada la makcik kena berdiri lama-lama,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati warga emas, orang kurang upaya, wanita mengandung serta wanita yang membawa anak kecil diberi laluan khas.