KUALA SELANGOR - Pemilihan Cabang Keadilan perlu menjadi penanda aras kekuatan parti bagi menjadikan parti ini terus utuh bersama PH mentadbir negara.

Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan semua anggota supaya terus bersama memberi sokongan semua calon.

Menurutnya, pemilihan peringkat cabang ini bukannya untuk memecahbelahkan parti tetapi menguatkan sokongan anggota peringkat akar umbi terhadap PKR.

"Saya puji semangat empat daripada enam calon yang bertanding pada pemilihan Ahad nanti kerana dapat duduk bersama demi menjayakan majlis ini.

"Inilah yang kita mahukan dan selepas keputusan rasmi diterima nanti tak kira siapa yang menang, saya mahu kumpulan sokongan calon ini dapat digabungkan menjadi satu pasukan yang kuat," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Semarak Muafakat bersama Pemimpin Cabang Kuala Selangor di Grand Ballroom De Palma Eco Resort Kuala Selangor, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama empat calon yang bertanding pada Pemilihan Cabang Kuala Selangor pada Ahad nanti.