SHAH ALAM - Pemilihan PKR memang sentiasa riuh dan bising kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hal ini kerana menurut Azmin partinya tidak pernah menyembunyikan masalah malah mereka memberi ruang kepada ahli bersuara.

"Kita telah melalui banyak ujian dan saya percaya dengan kematangan pimpinan kita boleh menguruskan ini dengan baik dan bertanggungjawab.

"Kenapa anda lihat kita riuh dan bising? Kerana kami sangat demokratik. Kita tak sorok bawah karpet, kita tak sorok masalah kita. Kita benarkan ahli bicara secara terbuka, tegur kepimpinan...bagi saya ini suatu perkara yang sihat.

"Mungkin anda lihat ini pelik kerana kita dah lama di bawah BN tidak berlaku perkara ini tapi bagi kami dalam PKR ini proses yang cukup sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR 3018 di sini, hari ini.

Beliau turut melahirkan keyakinan PKR akan muncul lebih kuat selepas pemilihan ini sekaligus menangkis dakwaan parti itu akan berpecah selepas pelbagai episod panas dalam pemilihan parti, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata pihaknya telah berdepan pelbagai krisis tang berjaya ditangani dengan baik.

"Saya percaya walaupun pemilihan kali ini telah menimbulkan sedikit masalah namun itu proses biasa dalam demokrasi.

"Bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengatakan demokrasi ini bising. Bising sebab kita berikan ruang kepada ahli untuk memberi pandangan, teguran dan nasihat," katanya.

Beliau juga tidak menolak penambahbaikan yang perlu dilakukan ke atas sistem pemilihan sedia ada untuk masa depan.