KOTA BHARU - PKR Kelantan berharap pemilihan di peringkat cabang pada 5 Oktober ini berlangsung dengan tenang tanpa sebarang provokasi mahupun gangguan terhadap sistem undian secara digital.

Pengarah komunikasinya, Mohd Sukirman Mustafa berkata, insiden yang berlaku di bahagian utara kelmarin perlu dijadikan pedoman untuk penambah baikan sistem pengundian bagi mengelak ketegangan.

Menurut beliau, memandangkan sistem tersebut masih baharu maka diharapkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR turut memberi penjelasan kepada semua pengundi berkaitan peng­gunaannya.

“Kita nak bertanding dalam suasana persahabatan yang baik dan sihat. Kita tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, cuma kita mahu ditambah baik kerana di Kelantan seramai 43,200 ahli yang berdaftar. Bukan kerja yang mudah.

“Sepatutnya ia dikaji sebelum diguna. Kita juga akan guna sistem ini dan kalau undur kepada manual ia menimbulkan lebih banyak masalah. Kesilapan kecil boleh mengundang masalah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Sukirman berkata, perkara sedemikian perlu diberikan tumpuan besar memandangkan setiap hal yang dialami PH menjadi perhatian semua pihak apatah lagi selepas peralihan kuasa.

Katanya, mood rakyat terhadap PH sekarang dalam momentum baik kerana ramai berminat untuk bertanding setelah berjaya menubuhkan kerajaan selepas kemenangan luar biasa PRU14 lalu.

Beliau juga menjangkakan 50 peratus ahli akan keluar membuat pemilihan nanti dan sekiranya kedatangan melebihi daripada jangkaan ia satu pencapaian yang baik bagi PKR Kelantan.

Kelmarin, proses pengundian di sembilan cabang di Kedah terpaksa ditangguhkan atas beberapa isu berlaku dan turut berlaku insiden pergaduhan menyebabkan seorang lelaki cedera.