KUALA KETIL - Pemilihan PKR Cabang Baling dicadangkan diadakan di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Pekan Baling sebagai lokasi pemilihan semula selepas diumumkan penangguhannya hari ini.

Calon Ketua Cabang, Mohamad Sofee Razak berkata, lokasi baharu itu perlu dipertimbangkan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) apabila kekecohan yang berlaku hari ini membuktikan pekan Kuala Ketil tiada capaian internet yang kuat.

“Kita cadangkan untuk dibawa ke tempat dengan kelajuan internet yang lebih baik. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga memilih dewan berkenaan bagi proses pengiraan undi pada PRU14.

“Sistem e-voting sememangnya bergantung dengan kelajuan internet. Sudah terbukti hari ini apabila internet tidak berfungsi tidak boleh untuk muat naik data,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata,  Dewan Majlis Daerah Baling (MDB) Kuala Ketil tidak sesuai dijadikan lokasi pemilihan kerana terletak di tepi jalan raya.

“Ini mengganggu lalu lintas dan menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya.