GEORGETOWN - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang bermula serentak di 13 cabang hari ini.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Zulkiefly Saad berkata pusat mengundi di enam cabang iaitu Nibong Tebal, Balik Pulau, Tanjung, Bayan Baru, Bukit Bendera dan Kepala Batas dibuka pada 9 pagi dan ditutup pukul 4 petang.

Beliau berkata waktu mengundi di tujuh lagi cabang iaitu Jelutong, Bukit Gelugor, Bagan, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Permatang Pauh dan Bukit Mertajam bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada 5 petang.

"Penentuan masa ditentukan oleh pihak cabang dengan syarat tempoh mengundi tidak melebihi tujuh jam," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 55,132 ahli PKR Pulau Pinang layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.

Zulkiefly berkata sebanyak 1,128 calon bertanding untuk merebut jawatan ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 anggota jawatankuasa cabang, selain ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 anggota jawatankuasa AMK cabang.

Selain itu, turut menjadi rebutan adalah jawatan ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh anggota jawatankuasa Wanita cabang.

Beliau berkata keputusan awal dijangka boleh diketahui seawal pukul 6 petang. - Bernama