BUTTERWORTH - Proses pengundian bagi pemilihan PKR di empat negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain berikutan beberapa masalah dihadapi ketika proses pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah, semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop berkata, berikutan masalah itu, proses pemilihan di Kedah dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau berkata, proses pengundian akan bermula semula pada 30 September di Johor seperti jadual yang ditetapkan JPP, iaitu selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

“Semua proses pengundian yang telah dijalankan di Kedah dibatalkan semuanya. Proses pengundian yang dijadual untuk Perak dan Perlis yang dijadualkan esok juga ditangguhkan.

“JPP akan menetapkan tarikh-tarikh baharu bagi kesemua cabang di negeri-negeri berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Bagi pemilihan PKR di Pulau Pinang, Ismail berkata, keputusan pengundian semalam diterima tanpa perubahan sehingga terdapat bantahan secara bertulis daripada pihak yang tidak berpuas hati.

Menurutnya, JPP akan meneliti semua bantahan itu dan mengadakan perbincangan di peringkat JPP dan kepimpinan PKR sebelum menentukan sama ada keputusan di Pulau Pinang akan dikekalkan atau sebaliknya.

“Laporan yang JPP terima daripada petugas di lapangan amat mendukacitakan. Banyak insiden di luar jangkaan JPP sudah berlaku terutama di Kedah dan beberapa tempat di Pulau Pinang sehingga JPP terpaksa menangguhkan proses pengundian di sembilan cabang di Kedah.

“Di samping itu, bilik gerakan JPP juga menerima beberapa aduan terhadap proses pengundian yang berlaku di Pulau Pinang,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi semasa proses pengundian di Kedah dan Pulau Pinang hari ini terutama daripada segi kefahaman sistem dan proses pengundian e-voting.

Beliau berkata terdapat kekurangan sokongan teknikal di tempat pengundian bagi membantu petugas mengendalikan proses pengundian sehingga menyebabkan beberapa insiden tidak diingini berlaku selain wujud kekeliruan mengenai status ahli parti dalam senarai anggota yang layak mengundi.

“JPP membuat persiapan untuk menangani isu-isu ini, namun oleh kerana ini adalah pengalaman pertama mengendalikan proses e-voting maka proses semakan dan pemutihan maklumat anggota yang diharapkan dapat dilakukan serentak dengan proses pengundian tidak dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kehadiran jumlah pengundi yang begitu ramai,” katanya.

Menurutnya, JPP sentiasa komited dalam memastikan proses pengundian pemilihan PKR 2018 berjalan lancar dari semasa ke semasa.

“Pihak JPP ingin menegaskan segala insiden yang berlaku hari ini bukanlah kerana sistem e-voting kerana sepanjang hari ini bilik gerakan JPP yang memantau sistem e-voting ini berjalan tidak mendapati sebarang masalah terhadap sistem yang digunakan,” katanya.

Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi di 28 cabang bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.

Sementara itu, di Ipoh, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya berharap pengundian menggunakan sistem manual digunakan semula untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan memberi keadilan kepada semua anggota parti terutama yang berumur.

“E-voting kurang berkesan terutama kepada orang yang berusia kerana ada kalangan mereka tidak celik teknologi walaupun sistem ‘chai’ (penyediaan senarai calon-calon) dibenarkan kali ini.

“Kita mengamalkan dasar demokrasi satu anggota satu undi, tetapi bila yang dewasa (berusia) tidak celik IT haknya ternafi, mereka terpinga-pinga,” katanya dalam satu sidang media di sini, malam tadi. - Bernama