LANGKAP - PKR Cabang Pasir Salak menyifatkan tindakan Presiden mereka, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam memilih calon bagi PRU14 sebagai diktator.

Ketua Cabangnya, Noor Azwan Ramli berkata, tindakan meletakkan nama-nama calon pilihan presiden sendiri tidak ubah seperti apa yang dilakukan BN.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dan terkilan dengan pemilihan calon kali ini kerana ia dianggap sebagai tidak realistik dan sangat tidak adil.

“Politik tidak sepatutnya hanya dilihat dari sudut jangkaan atas kertas sahaja, tetapi juga suara akar umbi yang menjadi kemenangan sesuatu parti politik tersebut.

“Kami tidak tahu bagaimana seseorang calon itu dipilih oleh Presiden Keadilan, tetapi apa yang kita boleh lihat sekarang ia akan merosakkan parti dan agenda perubahan yang ingin kita ingin bawakan kepada rakyat melalui Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas PKR Cabang Pasir Salak, di Pejabat PKR Cabang Pasit Salak, di sini, hari ini.

Noor Azwan berkata, suara rakyat perlu dibawa oleh orang tempatan yang menjadi pokok sebagai seorang wakil rakyat dan bukan sahaja diukur melalui prestasi tertentu yang ditetapkan tetapi perlu mendapat sokongan ahli parti sebelum diterjemahkan melalui undian.

“Saya amat kecewa dengan tindakan presiden yang mengkhianati kepercayaan akar umbi dengan meletakkan nama-nama tertentu yang tidak pernah menabur bakti di sesuatu tempat.

“Presiden Keadilan jelas tidak memahami hasrat ahli sendiri lantas perbuatan ini akan memakan diri apabila tiba waktu pilihanraya nanti,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya akan memboikot calon atau sabotaj parti pada PRU14 kali ini, Noor Azwan menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku dan segala kerja pilihanraya akan diteruskan.

Katanya, penjelasan yang dibuat itu hanyalah sekadar teguran secara terbuka terhadap Wan Azizah yang dilihat lari dari cara politik yang diajar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.