PUTRAJAYA - Dua anggota DAP menghantar memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tidak berpuas hati pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadualkan pada 12 November ini melalui kongres khas dan bukan kongres kebangsaan.

Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam, berkata Fasal VIII Perkara 8 perlembagaan parti  menyatakan kongres khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu dan bukan untuk tujuan pemilihan.

"Pemilihan tidak boleh diadakan dalam kongres khas melainkan perlembagaan itu telah dipinda tanpa pengetahuan kami," katanya kepada pemberita sebelum menghantar memorandum tersebut di ibu pejabat RoS, di sini hari ini.

Seorang lagi ahliDAP dari cawangan Bagan Luar, Butterworth, G. Asoghan berkata notis juga perlu diberikan kepada setiap cawangan 10 minggu sebelum pemilihan berlangsung.

"Kami berdua adalah perwakilan pada Kongres Nasional DAP pada  2012 dan ketika itu setiap setiausaha cawangan menerima notis 10 minggu sebelum tarikh pemilihan. Tetapi kali ini kami belum menerima apa-apa notis," katanya.

Pada 17 Julai lepas, DAP menerima surat daripada RoS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC berikutan jabatan berkenaan belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam selepas dipersetujui RoS.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata DAP juga akur dengan arahan RoS untuk menggunakan semula senarai nama 2,576 anggota perwakilan dan senarai asal calon pada pemilihan 2012 untuk sesi pemilihan semula tersebut. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - DAP mempersoalkan tindakan kerajaan dan pihak berkuasa, yang didakwanya tidak mengambil tindakan secukupnya terhadap penyebaran berita palsu di media sosial sebelum ini.
  • IPOH - DAP Perak yakin mampu mengekalkan kerusi Dun Tebing Tinggi walaupun berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya hingga menyebabkan komposisi pengundi berubah.
  • KULAI - Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mengalu-alukan sesiapapun calon yang mahu bertanding untuk kerusi kawasan itu pada PRU14.
  • SHAH ALAM - Orang Melayu diminta berhati-hati dengan kebangkitan DAP sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) menjadi kerajaan Persekutuan, jika mereka memenangi PRU14.
  • IPOH - Pemuda DAP Perak yakin pakatan pembangkang dapat merampas lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis.