IPOH – Pakatan pembangkang tidak mempunyai kredibiliti kerana sering meracuni pemikiran rakyat dengan perkara negatif yang tidak mempunyai sebarang kesahihan, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

Beliau berkata strategi itu telah digunakan pembangkang sejak beberapa pilihan raya terdahulu ,namun ia dilihat tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Pembangkang di Perak ini sama macam pembangkang di negeri lain. Mereka hasut dan racun pemikiran rakyat dengan pelbagai dakyah, pembohongan.

"Namun apa yang kita nampak, rakyat telah sedar melalui rekod pencapaian yang telah kita  (Umno dan BN) bawa menerusi program-program pembangunan yang telah dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Tahun Baharu Cina kepada 50 penerima di Wisma Umno Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata agenda pembangunan dan kemajuan yang menjadi tunjang kepada struktur pentadbiran negara pada ketika ini juga akan akan diteruskan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk kekal memerintah pada PRU14.

"Inilah wadah atau parti yang boleh memastikan kestabilan sama ada di bidang politik, ekonomi dan juga kebahagiaan rakyat itu dapat diteruskan apabila rakyat memberi sokongan dan undi pada BN," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Semua peringkat Pemuda Umno diminta memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan bekerja keras bagi membantu kemenangan BN.
  • JITRA - Usaha serta strategi untuk mempertahankan parti keramat Umno daripada terus diserang dan cuba dihancurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bermula di daerah Kubang Pasu, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.
  • ALOR SETAR - Pemuda Umno meminta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengemukakan bukti dakwaan cybertrooper BN menggunakan akaun Facebook palsu untuk memburukkan Bersatu.
  • KUALA LUMPUR - Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun minta Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab dahulu soalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Farhan Khairuddin mengenai kekayaan segera beberapa individu sebelum membangkitkan isu rasuah dan salah guna kuasa.