Adnan Tengku Mansor
$entry.content.caption.value

PETALING JAYA – Pembangkang diminta tidak salah tafsir berhubung kenyataan sedia berdebat kerana ia tidak bermaksud merealisasikan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, apa yang ditekankan isu dan tajuk yang dipilih perlu rasional.
 
“Saya bukan maksudkan sokong atau mahu realisasikan debat antara Perdana Menteri dan Anwar. Saya juga tidak rela PM buang masa berdebat kosong dengan Anwar. Banyak lagi urusan penting yang perlu beliau selesaikan.
 
“Saya sebut sebelum ini kita bersedia berdebat, tetapi bergantung kepada topik yang mahu diperdebatkan. Kita juga ada Timbalan Perdana Menteri, Naib Presiden Umno, Majlis Tertinggi Umno, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita. Mereka juga boleh berdebat dengan pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sokongan PKR terhadap pendiriannya berhubung kesediaan untuk berdebat dengan Pakatan Rakyat (PR) susulan debat bersejarah antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kelmarin
 
Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyatakan pandangan Tengku Adnan dianggap skeptikal dan berbeza dengan pendirian Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang menganggap debat tidak boleh dijadikan satu budaya.
 
Sehubungan itu, katanya, parti komponen PR turut melahirkan kesediaan mengadakan perbincangan me­ngenai perkara tersebut dengan Tengku Adnan.
 
“Saya menghormati pendirian Adnan dan saya meng­anggap itu bukan kenyataan yang saja-saja dibuat.
 
“Saya harap beliau dapat memulakan usaha ini dengan menemukan dua pemimpin hebat iaitu Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar untuk berdebat,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.