BERA - Pakatan Harapan (Harapan) cuba memberi gambaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh dipercayai sebagai sebuah badan bebas, telus dan berkecuali apabila menggesa badan bebas asing dijemput memantau perjalanan PRU14.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, gesaan Harapan yang diketuai DAP ini disifatkan sebagai satu langkah tersirat bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap ketelusan SPR mengendalikan pilihan raya di negara ini.

Menurutnya, segala urusan berkaitan perjalanan pilihan raya di negara ini dikendalikan sepenuhnya oleh SPR dan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.

"Mereka cuba memberi gambaran tidak yakin dengan kemampuan SPR mengendalikan pilihan raya umum sedangkan sudah 13 kali ia diadakan dengan telus dan adil.

"Kalau tidak adil, pembangkang tidak akan berjaya menguasai beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian, selepas program Moh Ngeteh bersama warga Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Majlis Daerah Bera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor mendesak kerajaan menjemput pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, SPR perlu diberi kepercayaan penuh untuk mengendalikan tugas dan tanggungjawab mereka.

Katanya, tiada sebab SPR perlu memberi ruang kepada badan bebas asing untuk campur tangan dalam urusan 'rumah tangga' negara ini berdasarkan keberkesanan mereka mengendalikan pilihan raya umum dengan lancarnya sebelum ini.