BESUT - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembahagian kerusi Parlimen untuk ditandingi parti komponen Pakatan Harapan pada PRU14 hanya menguntungkan DAP.

Beliau mendakwa kerusi yang diberikan kepada Bersatu, PKR dan Amanah adalah di kawasan yang  parti itu tidak boleh menang.

Katanya  ini  jelas menunjukkan DAP terus mempergunakan orang Melayu khususnya Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecah-belahkan undi orang Melayu.

"Saya kesian dengan Tun Mahathir kerana beliau telah terjebak dengan strategi DAP untuk memecah-belahkan undi Melayu.

"Saya ingin memberi peringatan kepada orang Melayu khususnya jangan terikut-ikut  dengan agenda DAP.  Mereka tidak akan menerima perjuangan Islam dan  Melayu," kata Ahli Parlimen Besut  itu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Temu Murni Pesara Besut di sini, hari ini.

Ahad lepas Pakatan Harapan mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen akan ditandingi parti komponen itu pada PRU14  iaitu Bersatu (52) ,  PKR  (51) DAP (35) dan Amanah (27), keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Idris berkata  orang Melayu perlu meneliti dan mengkaji bahawa DAP bukanlah sebuah parti yang terbaik untuk menerajui pemerintahan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata beliau telah diundang oleh Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Islam (ISESCO) untuk membentangkan kejayaan sistem pendidikan tinggi negara pada persidangan pendidikan tinggi negara-negara Islam di Kuala Lumpur pada 19 Jan ini.

"Mereka juga ingin mempelajari dan kita akan berkongsi dengan mereka cara dan acuan pendidikan tinggi kita, apa yang boleh kita lakukan untuk menambah baik sistem pendidikan negara Islam… bukan sahaja dalam bidang agama, akhlak tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :